Korea U beri amaran ceroboh perairan

SEOUL, 27 SEPT – Korea Utara hari ini memberi amaran kepada tentera laut Korea Selatan untuk berhenti menyeberang kawasan perairan mereka ketika kapal penyelamat mencari mayat pegawai dari Seoul yang ditembak mati di lautan oleh tentera Pyongyang.

Media negeri berkata Korea Utara akan memulakan pencarian mereka sendiri dan memberi ancaman ketegangan.

Pegawai perikanan yang ditembak mati oleh tentera Korea Utara pada Selasa lalu – pembunuhan pertama warga Korea Selatan oleh tentera Pyongyang dalam masa satu dekad – menyebabkan pemimpin Kim Jong Un membuat permohonan maaf secara terbuka yang jarang berlaku.

Tentera Seoul telah mendakwa tentera Korea Utara menyimbah seluruh tubuh mangsa dengan minyak dan kemudian membakarnya selepas mangsa ditembak.

Kematian yang ‘sangat dikesali dan sepatutnya tidak berlaku’, menurut agensi berita rasmi Korea Utara KCNA hari ini, menambah bahawa Pyongyang telah mengaturkan operasi mencari di perairan mereka untuk membantu mencari mayat tersebut.

Dikatakan negara tersebut turut mempertimbangkan ‘prosedur dan mencari jalan untuk menyerahkan mayat kepada Korea Selatan sekiranya mereka menjumpainya semasa operasi.’

Tetapi mereka memberi amaran kepada kapal-kapal milik Korea Selatan berhampiran dengan kawasan kejadian yang telah menyeberangi perairan Korea Utara.

“Kami tidak pernah terlepas pandang sebarang pencerobohan ke atas perairan kami dan kami memberi amaran secara serius kepada Korea Selatan mengenai perkara ini,” menurut KCNA. – AFP

Kapal Korea Selatan yang menjalani operasi mencari warga Korea Selatan yang ditembak Selasa lalu. Korea Utara memberi amaran kepada tentera laut Korea Selatan untuk berhenti menyeberang kawasan perairan mereka. – AP