Korea U dilanda ‘kemarau ekstrem’

SEOUL, 15 Mei – Purata turunan hujan dan salji di Korea Utara tahun ini jatuh ke tahap paling rendah dalam masa 37 tahun, menurut media kerajaan Pyongyang hari ini, beberapa hari selepas PBB menyatakan ‘kebimbangan teruk’ tentang kekurangan makanan.

Negara terasing dan miskin itu – yang dikenakan beberapa sekatan berhubung senjata nuklear dan program peluru berpandu balistiknya – sudah lama bergelut untuk membiayai negara dan mengalami kekurangan makanan yang kronik.

Beberapa organisasi antarabangsa termasuk Program Makanan Sedunia PBB (WFP), telah berkata bencana kecil, termasuk kemarau, boleh memburukkan dan menghambat pengeluaran makanan di negara itu.

Dari Januari hingga awal Mei tahun ini, Korea Utara hanya menerima 54.4 milimeter hujan atau salji, jumlah terkecil sejak tempoh sama pada 1982, kata KCNA milik kerajaan, menyifatkan situasi itu sebagai ‘kemarau ekstrem’.

Bulan lalu, WFP dan Organisasi Pertanian dan Makanan PBB berkata dalam laporan bersama yang pengeluaran tanaman Korea Utara tahun lalu berada pada tahap paling rendah sejak 2008, dan dianggarkan 10 juta orang – 40 peratus bagi keseluruhan penduduk – amat terdesak memerlukan makanan.

“Situasi itu boleh menjadi semakin teruk semasa musim perit bermula Mei hingga September, jika tiada tindakan kemanusiaan segera dan betul telah diambil,” menurut laporan itu.

Pengarah eksekutif WFP, David Beasley berada di Seoul awal minggu ini berkata dia ‘amat bimbang’ tentang situasi makanan di Korea Utara semasa pertemuannya dengan Menteri Penyatuan Korea Selatan, Kim Yeon-chul.

Pegawai Kementerian Penyatuan berkata kelmarin ia adalah ‘perlu’ untuk menghantar bantuan makanan ke Utara antara Mei dan September seperti yang disarankan oleh laporan WFP. – AFP

Gambar yang diambil pada 6 Mei menunjukkan bandar Kaepoong Korea Utara dilihat di sebalik pos kawalan tentera Korea Utara, dari balai cerap penyatuan di Paju, Korea Selatan. – AP