Korea U gesa PBB ‘ajar’ AS

SEOUL, 19 Mei – Korea Utara meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk ‘mengambil langkah segera’ bagi mengembalikan kapal kargo yang dirampas oleh Amerika Syarikat (AS), menganggap rampasan itu sebagai tindakan ‘sangat kejam’.

Washington minggu lepas mengumumkan telah merampas sebuah kapal pengangkut di bawah pendafataran Korea Utara, M/V Wise Honest, setahun selepas ia ditahan di Indonesia, dengan menyatakan ia melakukan aktiviti-aktiviti yang melanggar sekatan.

Rampasan itu hadir di tengah-tengah meningkatnya tekanan selepas Pyongyang menjalankan latihan bersenjata melibatkan pelancaran peluru berpandu jarak sederhana dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dan dengan perbincangan nuklear menemui kebuntuan sejak sidang Hanoi yang gagal antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un awal tahun ini.

Dalam satu surat yang dihantar ke Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, wakil tetap Pyongyang ke PBB, Kim Song berkata insiden itu adalah ‘tindakan tidak berundang-undang dan melampau,” menurut agensi berita Korea Utara, KCNA.

“Tindakan rampasan itu jelasnya menandakan bahawa AS adalah negara samseng yang tidak peduli dengan undang-undang antarabangsa,” menurut surat itu.

Wakil Korea Utara itu meminta Guterres ‘mengambil langkah segera ke arah menstabilkan semenanjung Korea dan membuktikan keadilan PBB’.

Awal minggu ini, Pyongyang telah menyelar rampasan itu sebagai ‘penafian terbuka’ terhadap kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Kim dan Trump pada sidang pertama mereka di Singapura pada tahun lepas.

Korea Utara dikenakan di bawah beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB disebabkan program nuklearnya. – AFP