Korea U kembangkan loji nuklear

SEOUL, 19 SEPT – Imej terkini satelit menunjukkan Korea Utara sedang mengembangkan loji pengayaan uraniumnya di kompleks nuklear utama Yongbyon, satu petanda bahawa mereka berhasrat untuk meningkatkan penghasilan bahan bom, menurut pakar.

Penilaian tersebut dibuat selepas ketegangan yang semakin meningkat baru-baru ini dengan Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu pertama dalam tempoh enam bulan di tengah-tengah rundingan pelucutan senjata nuklear yang lama terbantut dengan Amerika Syarikat (AS).

“Pengembangan loji nuklear berkemungkinan menunjukkan rancangan Korea Utara untuk meningkatkan pengeluaran senjata uranium di tapak Yongbyon sebanyak 25 peratus,” kata Jeffrey Lewis dan dua lagi pakar di Middlebury Institute of International Studies di Monterey dalam laporannya.

Laporan mengatakan foto-foto diambil oleh syarikat imej satelit Maxar menunjukkan pembangunan di kawasan loji pengayaan uranium di Yongbyon.

Ia berkata imej satelit diambil pada 1 September lalu menunjukkan Korea Utara menebang pokok-pokok dan mempersiapkan tapak bagi pembangunan, dan ekskavator turut dilihat.

Laporan mengatakan imej kedua yang diambil pada 14 September menunjukkan satu tembok bagi menutup kawasan tersebut, mengusahakan tapak asas dan mengeluarkan panel dari bangunan tapak pengayaan bagi memberikan akses kepada kawasan yang baharu.

Kawasan baharu dianggarkan berukuran 1,000 meter persegi, cukup untuk memenuhi 1,000 buah rumah, yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran uranium dengan 25 peratus, menurut laporan.

Beberapa pakar AS dan Korea Selatan membuat andaian Korea Utara secara rahsia menjalankan sekurang-kurangnya satu loji pengayaan uranium tambahan. Pada 2018, pegawai Korea Selatan memberitahu parlimen bahawa Korea Utara dianggarkan sudah membangunkan sehingga 60 senjata nuklear.- AP