Korea U lancar dua peluru berpandu

SEOUL, 10 SEPT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat dari rantau barat ke arah Laut Timur pada hari ini, beberapa jam selepas negara komunis itu menawarkan untuk menyambung semula rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.

Peluru berpandu itu dilancarkan pada pukul 6:53 pagi dan 7:12 pagi dari kawasan bandar Kaechon, Wilayah Pyongan Selatan, kira-kira 80 kilometer di utara ibu negara Pyongyang, ke arah timur, menurut Ketua Turus Bersama (JCS).

Kedua-dua peluru berpandu terbang sejauh kira-kira 330 kilometer, kata JCS sambil menambah bahawa pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan AS sedang menganalisis jenis peluru sebenarnya. Ia bagaimanapun tidak memberikan maklumat mengenai kelajuan maksimum kedua-dua peluru berpandu.

“Tentera kami sedang memantau situasi itu kalau-kalau terdapat pelancaran tambahan selain mengekalkan kesiapsiagaan,” kata JCS sambil menggesa Korea Utara ‘menghentikan segera tindakan sedemikian yang boleh meningkatkan ketegangan.’ – Bernama

Seorang lelaki menonton berita di skrin televisyen yang menunjukkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara di stesen kereta api di Seoul, kelmarin. – AFP