SEOUL, 22 MAC – Korea Utara menembak dua peluru berpandu balistik jarak dekat di luar pantai timur semalam, yang terbaharu dalam beberapa siri pelancaran sedemikian oleh Pyongyang tatkala dunia bergelut dengan pandemik koronavirus.
Tentera Korea Selatan mengecam pelancaran sebagai ‘tidak wajar berdasarkan situasi sukar yang dialami oleh dunia berpunca daripada COVID-19. Kami meminta mereka dihentikan dengan serta-merta.”
Korea Utara belum melaporkan mana-mana kes koronavirus, yang telah berubah menjadi krisis besar dengan lebih 11,000 kematian dan lebih 250,000 jangkitan di seluruh dunia. Bagaimanapun, timbulnya spekulasi mengatakan virus telah sampai ke negara tersisih itu, dan pakar kesihatan mengingatkan bahawa ia mungkin memusnahkan negara memandangkan infrastruktur perubatan yang lemah dan pemakanan tak seimbang yang meluas.
Kementerian pertahanan Jepun juga mengesahkan pelancaran Korea Utara.
Berdekad-dekad lamanya, pemimpin Korea Utara telah menghadapi kritikan antarabangsa kerana mengutamakan perbelanjaan ke atas tentera dan program senjata nuklear dan bukannya menyediakan makanan untuk rakyat, walaupun ketika kebuluran. Pyongyang menganggap pembangunan tenteranya adalah perlu untuk keselamatan ketika menghadapi apa yang dianggapnya penindasan oleh Amerika. Korea Utara dikenakan pelbagai sekatan teruk disebabkan program nuklear dan peluru berpandunya.
Dengan pelancaran terbaharu, Pyongyang ‘meneruskan strategi antarabangsa untuk memulihkan ujian peluru berpandunya,” beritahu Leif-Eric Easley, profesor di Universiti Ewha di Seoul, kepada AFP. – AFP
