Korea U lancar dua peluru berpandu

SEOUL, 29 MAC – Korea Utara hari ini melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat dari pantai timurnya, iaitu pelancaran keempat pada bulan ini ketika dunia sedang memerangi pandemik koronavirus (COVID-19).

Ketua Turus Staf Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, dua peluru berpandu itu ditembak ke arah timur dari bandar pelabuhan Wonsan sejauh 230 kilometer ke Laut Jepun yang juga dikenali sebagai Laut Timur pada ketinggian maksimum 30 kilometer.

“Tindakan ketenteraan oleh Korea Utara itu adalah perbuatan yang tidak wajar apabila seluruh dunia mengalami kesulitan berdepan wabak COVID-19,” kata kenyataan itu. Sementara itu, Kementerian Pertahanan Jepun berkata objek seperti ‘peluru berpandu bali-stik’ itu tidak melepasi perairan Jepun atau zon ekonomi eksklusif negara (ZEE) negara berkenaan.

Pelancaran terbaharu oleh Pyongyang dibuat ketika rundingan pelucutan senjata nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) masih berlarutan. Kira-kira seminggu lalu, Korea Utara menembak apa yang dipercayai dua peluru berpandu balistik jarak pendek, dengan menggambarkannya sebagai ‘senjata berpandu taktikal’ baharu.

Sehari kemudian, media Korea Utara melaporkan bahawa Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menghantar surat kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang memperincikan rancangan untuk ‘meningkatkan hubungan’.

Laporan itu menyatakan, kakak Jong-un, Kim Yo Jong, memberi amaran bahawa hubungan peribadi yang baik antara kedua-dua pemimpin itu tidak akan cukup untuk memupuk hubungan yang lebih luas. – AFP

Seorang lelaki menyaksikan siaran televisyen di sebuah stesen kereta api yang memaparkan rakaman pelancaran peluru berpandu Korea Utara, kelmarin. – AFP