Korea U lancar dua peluru berpandu

SEOUL, 16 OGOS – Korea Utara telah melancarkan dua peluru berpandu yang tidak dikenali ke arah Laut Timur hari ini, yang keenam seumpamanya dalam tempoh tiga minggu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan tentera Korea Selatan.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari daerah pantai timur Tongchon di Wilayah Kangwon pada awal pagi Jumaat, menurut Ketua Turus Bersama (JCS). Tiada butiran lain diketahui termasuk jenis, jarak penerbangan dan ketinggian maksimum.

“Tentera kami kini memantau situasi itu kalau-kalau terdapat pelancaran tambahan sambil mengekalkan kesiapsiagaan,” menurut JCS dalam satu kenyataan ringkas.

Pelancaran kelmarin berlaku enam hari selepas Korea Utara menembak dua peluru berpandu dipercayai daripada jenis balistik jarak dekat ke arah Laut Timur.

Ia merupakan yang keenam sejak 25 Julai ketika ia melancarkan dua peluru berpandu jarak dekat yang baru dibangunkan dan diberi nama KN-23.

Sementara itu, pejabat Presiden Korea Selatan Moon Jae-in mengadakan sesi tergempar Majlis Keselamatan Negara (NSC) hari ini, beberapa jam selepas insiden itu.

Jawatankuasa Tetap NSC memulakan mesyuarat pada pukul 9 pagi yang dipengerusikan Chung Eui-yong, ketua pejabat keselamatan negara, menurut Cheong Wa Dae (Rumah Biru).

Secara berasingan, Moon turut diberikan taklimat berhubung situasi berkaitan, katanya. – Bernama

Replikasi peluru berpandu Scud-B Korea Utara (tengah, kanan), peluru berpandu Korea Selatan Nike (tengah, kiri) dan peluru berpandu Hawk (bawah, kanan) dipaparkan di Memorial Perang Korea di Seoul kelmarin. – AFP