Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Korea U lancar peluru berpandu jarak jauh

    SEOUL, 16 MAC – Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak jauh hari ini, kata Seoul, ketika Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menuju ke Tokyo untuk sidang kemuncak bagi meningkatkan hubungan ketika berdepan provokasi daripada Pyongyang.

    Pelancaran itu adalah tindakan ketiga Korea Utara sejak Ahad ketika Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengadakan latihan ketenteraan bersama terbesar mereka dalam tempoh lima tahun.

    “Tentera kami mengesan satu peluru berpandu balistik jarak jauh yang dilancarkan dari sekitar kawasan Sunan di Pyongyang,” kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan, memberitahu AFP bahawa ia merupakan peluru berpandu kelas ICBM.

    Peluru berpandu itu ditembak pada lintasan melengkung ke atas dan bukannya keluar, biasanya dilakukan untuk mengelakkan ia melintasi negara jiran dan terbang sejauh kira-kira 1,000 kilometer, tambah JCS.

    Pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, Yoon menggesa kerjasama tiga hala diperkukuh dengan Jepun dan Amerika Syarikat, sambil menambah bahawa “Korea Utara akan menanggung natijahnya kerana provokasi melulu itu,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

    Orang ramai duduk berhampiran televisyen yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara di stesen kereta api di Seoul. – AFP

    Perdana Menteri, Fumio Kishida memberitahu pemberita bahawa dia akan bertemu menteri dari Majlis Keselamatan Negara.

    “Keamanan dan kestabilan di rantau ini merupakan isu yang sangat penting,” tambah Kishida.

    Pelancaran hari ini diadakan beberapa jam sebelum pemimpin Korea Selatan dan Jepun dijadualkan bertemu di Tokyo, dengan program peluru berpandu dan nuklear Pyongyang menjadi agenda utama.

    Sidang kemuncak itu yang pertama dalam 12 tahun diadakan ketika kedua-dua negara berjiran itu berusaha untuk memperbaiki hubungan diplomatik yang telah lama tegang akibat kekejaman Jepun semasa pemerintahannya selama 35 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...