SEOUL, 12 MEI – Korea Utara mengesahkan kes COVID pertamanya hari ini dan mengumumkan ‘kecemasan serius’, dengan pemimpin Kim Jong Un muncul memakai pelitup muka di televisyen buat pertama kali bagi mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara itu.
Negara bersenjata nuklear itu tidak pernah mengakui walau satu kes jangkitan COVID dengan kerajaannya telah mengenakan sekatan koronavirus ketat di sempadannya sejak permulaan pandemik pada 2020.
Namun sampel telah diambil daripada seorang pesakit yang demam di Pyongyang ‘sepadan dengan varian Omicron BA.2’, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Pegawai tertinggi, termasuk pemimpin Kim Jong Un, mengadakan mesyuarat krisis politburo hari ini untuk membincangkan penularan itu dan mengumumkan mereka akan mengimplementasikan ‘sistem pencegahan epidemik kecemasan maksimum’.
Penyiaran rasmi KCTV menunjukkan Kim pada mesyuarat itu memakai pelitup muka – yang pertama kali di hadapan umum sejak permulaan pandemik. Pegawai tertinggi lainnya juga memakai pelitup muka.
Kim ‘menggesa semua bandar dan daerah di seluruh negara itu untuk menyekat sepenuhnya kawasan mereka,” lapor KCNA, walaupun butiran sekatan tidak dimaklumkan.
Menurut KCNA, Kim telah memberitahu mesyuarat itu yang matlamatnya adalah untuk ‘segera memulihkan jangkitan demi membanteras sumber penularan virus itu’.
Korea Utara akan ‘mengatasi situasi mendadak itu dan akan menang dalam tugas-tugas kecemasan pencegahan epidemik’, tambah Kim.
Berdasarkan laporan KCNA, masih belum jelas berapa banyak jangkitan telah dikesan.
Pakar mengatakan, infrastruktur kesihatan Korea Utara akan bergelut untuk menangani penularan itu disebabkan 25 juta penduduknya belum lagi bervaksinasi.
“Bagi Pyongyang, untuk mengakui kes Omicron itu secara umum, bermaksud situasi kesihatan awamnya mungkin serius,” kata Leif-Eric Easley, seorang profesor di Universiti Ewha di Seoul.
“Pyongyang kelihatannya akan menggandakan sekatan, walaupun kegagalan strategi sifar COVID China membuktikan pendekatan itu tidak akan berkesan membendung Omicron,” katanya lagi. – AFP