Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea U mampu hantar ICBM ke San Diego

    SEOUL, 11 Julai – Peluru berpandu balistik antara benua Korea Utara “mungkin” berupaya menghantar kepala peluru 500 kilogram ke San Diego dalam masa dua tahun, kata kumpulan pengawasan AS hari ini, selepas pelancarannya mencetuskan kebimbangan global pada minggu lalu.

    Ujian ICBM pertama negara tersisih itu digambarkan oleh pemimpin Kim Jong-Un sebagai satu hadiah kepada ‘rakyat Amerika’.

    Peluru berpandu Hwasong-14 buat masa sekarang dianggarkan mempunyai jarak 7,000-8,000 kilometer – cukup untuk sampai ke Alaska atau Hawaii – tulis jurutera ruang aeroangkasa John Schilling di laman web 38 North, projek pengawasan yang dikaitkan dengan universiti Johns Hopkins.

    “Jika Hwasong-14 digabungkan seperti yang kami fikirkan, ia mungkin boleh melakukan lebih baik daripada apabila kesemua peranti digunakan,” tulis beliau, meramalkan jarak 9,700 kilometer dengan kepala peluru 500 kilogram.

    “Korea Utara tidak dapat mencatat prestasi ini esok, namun mereka mungkin melakukannya pada akhirnya,” tambah beliau.

    Buat masa sekarang, adalah “bernasib baik untuk mengena sasaran sebesar sebuah bandar,” kata beliau, memetik had kepada teknologi kemasukan semula.

    Namun dengan “ujian dan pembangunan tambahan setahun atau dua,” tambah beliau, “ia mungkin menjadi peluru berpandu yang boleh menghantar kepala peluru nuklear ke sasaran di sepanjang pantai barat AS, kemungkinan dengan ketepatan yang mampu memusnahkan sasaran tentera seperti pangkalan tentera laut,” seperti di San Diego di California.

    Teknologi peluru berpandu Utara, yang diharamkan oleh Majlis Keselamatan PBB, telah berkembang pesat di bawah Kim, sekali gus menambah ketegangan di antara Pyongyang dan Washington. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda