SEOUL, 16 MEI – Korea Utara menarik diri daripada perlawanan kelayakan bagi Piala Dunia 2022 di Qatar bulan hadapan, menurut Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) hari ini.
“Konfederasi Bola sepak Asia hari ini mengesahkan Persatuan Bola Sepak DPR Korea telah menarik diri dari kelayakan Asia untuk Piala Dunia FIFA Qatar 2022,” menurut kenyataan AFC.
Tiada sebab diberikan atas tindakan tersebut tetapi media Korea Selatan melaporkan awal bulan ini bahawa Pyongyang telah berkata mereka akan menarik diri dari pusingan kelayakan atas kebimbangan mengenai koronavirus.
Pandemik COVID-19 memaksa hampir semua pusingan kedua kejohanan saringan Asia bagi Piala Dunia Qatar ditunda sehingga Jun.
AFC berkata bulan lalu ia akan mengubah format kejohanan agar setiap kumpulan terdiri daripada lima negara bermain di bawah satu tuan rumah.
Korea Selatan dipilih sebagai venue tuan rumah pusat bagi Kumpulan H, yang diketuai oleh Turkmenistan dan termasuk dua negara Korea, Lubnan dan Sri Lanka.
Korea Utara berada di kedudukan keempat dalam pusingan Kumpulan H, tetapi hanya dipisahkan dengan satu mata dengan pendahulu Turkmenistan dengan tiga perlawanan masih belum dimainkan sebelum mereka menarik diri.
AFC berkata keputusan akan dibuat pmengenai kedudukan Kumpulan H selepas merujuk kepada jawatankuasa penganjur FIFA untuk persaingan.
Kejohanan juga berperanan sebagai kelayakan untuk Piala Asia 2023, yang akan diadakan di China.
Keputusan Pyongyang untuk menarik diri dibuat hampir sebulan selepas negara tersebut berkata tidak akan menyertai Sukan Olimpik pada tahun ini, disebabkan kebimbangan pandemik. – AFP