SEOUL, 1 NOV – Korea Utara menembak dua peledak jarak pendek semalam, kata tentera Selatan, dengan rundingan nuklear di antara Pyongyang dan Washington menemui kebuntuan.
Senjata dilancarkan dari wilayah Pyongan Selatan dalam arah timur di atas laut, kata Ketua Turus Tentera Seoul dalam satu kenyataan.
Mereka terbang 370 kilometer pada altitud maksimum 90 kilometer, kata mereka, menambah: “Kami sedang mengekal kesediaan dan pemantauan sekiranya ada pelancaran tambahan.”
Ia merupakan yang terbaharu dalam beberapa siri pelancaran oleh Utara tetapi yang pertama sejak 2 Oktober, apabila ia menembak peluru berpandu dalam cara provokatif – peluru berpandu kapal selam yang berupaya mengubah keseimbangan tentera.
Utara keluar daripada rundingan nuklear peringkat kerja dengan Amerika Syarikat di Sweden, berkata ia kecewa dengan kekurangan penyelesaian ‘baharu dan kreatif’ yang ditawarkan oleh Washington.
Pyongyang dikenakan pelbagai set sekatan antarabangsa berhubung program senjata nuklear dan peluru berpandu balistik, yang dikatakannya perlu untuk mempertahankan diri terhadap kemungkinan serangan AS.
Ia menuntut langkah tersebut dibatalkan dan berkali-kali menggesa Washington supaya tampil dengan tawaran baharu pada akhir tahun ini.
Majlis Keselamatan Negara Selatan meluahkan ‘kebimbangan’ berhubung pelancaran semalam dan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengutuknya, berkata ‘ia mengancam keamanan dan kestabilan negara dan rantau.’ Utara telah melancarkan lebih daripada 20 pelancaran tahun ini, beritahunya kepada wartawan: “Adalah jelas matlamat mereka adalah mempertingkat teknologi peluru berpandu. Kami perlu memperkukuh pengawasan keselamatan kami.”
Kementerian pertahanan Jepun menyifatkan senjata sebagai ‘kelihatan seperti peluru berpandu balistik.’ Pyongyang dilarang daripada melancar peluru berpandu balistik di bawah resolusi Majlis Keselamatan PBB. – AFP
