Korea U tuntut jaminan keselamatan

SEOUL, 16 SEPT – Korea Utara hari ini menuntut Amerika Syarikat menyediakan jaminan keselamatan sebagai prasyarat untuk menyambung semula rundingan nuklear yang terbantut, menghambat harapan bagi perkembangan terkini pada dialog peringkat kerja dalam beberapa minggu akan datang.

Rundingan antara Pyongyang dan Washington menemui jalan buntu sejak sidang kemuncak kedua antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden AS, Donald Trump pada Februari berakhir tanpa perjanjian.

Pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri Korea Utara berkata hari ini bahawa ‘perbincangan pelucutan nuklear mungkin berlaku apabila ancaman dan halangan yang mengancam sistem kese-lamatan kami dan menghambat perkembangan kami dapat di-singkirkan daripada semua keraguan tersebut’.

Korea Utara sering menegaskan bahawa jaminan keselamatan adalah penting sebagai sebahagian daripada mana-mana perjanjian – namun ia biasanya tidak menuntutnya sebagai petanda kepada rundingan. – AFP