Korea U uji ‘senjata terbaharu’

SEOUL, 11 OGOS – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyelia ujian ‘senjata baharu’, lapor media kerajaan hari ini, dalam siri terkini pelancaran yang Presiden Donald Trump pandang ringan ketika Washington berusaha untuk memulakan semula rundingan nuklear bersama Pyonyang.

Laporan yang dibawa oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) itu disusuli dengan komen Trump yang Kim telah menyatakan kesediaan untuk bertemu sebaik latihan AS-Korea Selatan berakhir dan meminta maaf atas ujian peluru berpandu yang banyak.

Pelancaran kelmarin itu adalah ujian kelima Korea Utara dalam masa dua minggu ketika ia membantah latihan tentera tahunan yang berlangsung antara Seoul dan Washington yang sering membuat Pyongyang berang.

Para pegawai pertahanan di Seoul berkata Pyongyang menembak dua peluru berpandu balistik jarak dekat kelmarin, terbang 400km sebelum menjunam ke laut antara semenanjung Korea dan Jepun.

KCNA tiada memberikan spesifikasi teknikal namun berkata hari ini ia adalah ‘senjata baharu’ yang dibangunkan dengan kesesuaian ‘keadaan rupa bumi’ negara itu.

Akhbar rasmi Rodong Sinmun menunjukkan beberapa gambar Kim tersenyum lebar sambil dikelilingi para pembantunya ketika dia menyelia ujian itu.

Kim Dong-yub, seorang penyelidik di Institut bagi Pengajian Timur Jauh, berkata senjata itu sepertinya peluru berpandu balistik jarak dekat baharu yang menjadi sebahagian daripada pemodenan keupayaan tentera Pyongyang.

Peluru tersebut adalah ‘versi sistem tindak balas berkos rendah, efisien tinggi Korea Utara’ yang dihasratkan untuk ‘melumpuhkan sistem pertahanan misil’ di Korea Selatan, tambah Kim.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KCNA hari ini, kementerian luar negeri Korea Utara berkata keengganan Korea Selatan untuk membatalkan latihan bersamanya dengan AS telah menghancurkan sebarang prospek rundingan masa hadapan bersama Seoul. – AFP

Gambar yang diberikan oleh kerajaan Korea Utara pada 10 Ogos menunjukkan pelancaran peluru berpandu balistik jarak dekat. – AP