Korea Utara anjur latihan artileri

SEOUL, KOREA SELATAN, 7 NOV – Korea Utara mengadakan latihan tembakan artileri bagi meningkatkan keupayaan pertahanannya, menurut media hari ini, ujian senjata terbaharu ketika Pyongyang terus mendesak Washington dan Seoul untuk menamatkan apa yang disifatkan oleh mereka sebagai dasar agresif terhadap mereka.

Latihan menembak artileri di kalangan unit tentera diadakan hari ini, dengan pegawai kanan kerajaan dan tentera turut hadir, menurut laporan Agensi Berita Korean Central (KCNA).

Pemimpin Kim Jong Un tidak disebutkan dalam laporan, menunjukkan dia tidak menyaksikan latihan tersebut. Pemimpin Korea Utara itu menyelia latihan menembak artileri yang serupa pada tahun lalu.

Latihan tahun ini diadakan untuk memeriksa perkembangan unit tentera dalam kemampuan pergerakan semasa pertempuran dan untuk meningkatkan lagi intensiti latihan di kalangan tentera, menurut KCNA.

Sejak September, Korea Utara telah melancarkan siri latihan peluru berpandu yang baru dibangunkan, termasuk senjata berkeupayaan nuklear yang ditujukan kepada sekutu Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun dalam lingkungan serangan. Sebahagian pakar berkata Korea Utara ingin musuhnya menerimanya sebagai sebuah negara berkuasa nuklear dan berusaha untuk melonggarkan sekatan antarabangsa terhadap negara tersebut.

Ujian artileri Korea Utara kurang menarik perhatian negara luar berbanding ujian misil, terutama senjata balistik yang dilancarkan di mana ia diharamkan oleh beberapa resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). – AP