Korea Utara batal sekatan di bandar Kaesong

SEOUL, 14 OGOS – Korea Utara berkata hari ini ia telah membatalkan sekatan tiga minggu yang dikenakan ke atas sebuah bandar yang terletak di sempadan selepas pembelot dipercayai dijangkiti koronavirus menyelinap masuk ke dalam negara.

Negara itu menegaskan ia tidak mempunyai kes COVID-19, satu dakwaan yang disangkal oleh pakar antarabangsa, berdasarkan penularan penyakit secara meluas di seluruh dunia.

Pihak berkuasa pada Julai berkata mereka mengenakan sekatan ke atas bandar Kaesong apabila seorang lelaki berusia 24 tahun, ditahan selepas menyeberangi sempadan itu dari Korea Selatan, didapati menunjukkan simptom koronavirus.

“Telah terbukti situasi usaha anti-epidemik berjaya dikawal,” pemimpin Kim Jong Un dipetik sebagai berkata oleh agensi berita KCNA.

Kim ‘mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kawasan yang dikenakan sekatan kerana mematuhi peraturan yang dilaksanakan oleh Parti dan kerajaan kami, meskipun mengalami situasi sukar dalam kehidupan mereka di bawah kuarantin.”

Infrastruktur kesihatan Korea Utara dilihat sebagai tidak memadai untuk menghadapi dan mengatasi sebarang wabak besar-besaran.

Pyongyang menutup sempadannya pada akhir bulan Januari, negara pertama di dunia yang berbuat demikian, dalam usaha untuk melindungi negaranya terhadap koronavirus.

Ia mengenakan sekatan ketat yang menempatkan ribuan penduduk dalam pengasingan, namun penganalisis berkata negara itu tidak mungkin mengelak daripada penularan wabak tersebut. – AFP