Korea Utara berisiko dilanda banjir, 16 maut di Korea Selatan

SEOUL, 6 OGOS – Hujan lebat selama beberapa hari boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh di seluruh Korea Utara, kata para pegawai, ketika Korea Selatan mengatakan hari ini, 16 orang telah maut berikutan hujan lebat di semenanjung.

Korea Utara sering kali teruk terjejas apabila hujan lebat di sekitar gunung-gunung dan bukit telah merosakkan tumbuh-tumbuhan, sehingga air mengalir menuruni bukit tanpa kawalan.

Tetapi Korea Selatan juga menderita, dengan pihak berkuasa mengatakan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam beberapa hari terakhir akibat banjir di wilayah tengah. Sebanyak 11 yang lain hilang, sementara 1,600 orang telah dipindahkan dari kediaman me-reka, kata pihak berkuasa.

Agensi berita rasmi KCNA mengatakan kawasan yang paling teruk terjejas dilanda hujan termasuk wilayah Hwanghae dan wilayah pertanian utama.

“Penting untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk wilayah-wilayah yang berada dalam bahaya,” kata Dokgo Hyok Chol, seorang pegawai di Pentadbiran Hidro-Meteorologi Negeri.

KCNA tidak menyatakan sebarang korban jiwa atau kerosakan yang disebabkan oleh hujan. Sekurang-kurangnya 138 orang warga Korea Utara meninggal dunia setelah hujan lebat dan banjir besar pada tahun 2016, kata PBB ketika itu.

Lebih daripada 160 orang terbunuh akibat ribut hujan besar pada musim panas 2012. – AFP

Penduduk membersihkan barangan mereka yang terjejas akibat banjir di kediaman mereka berikutan hujan lebat di Chorwon, Korea Selatan. – AFP