Korea Utara lancar peluru berpandu ke perairan timur

SEOUL, 19 OKT – Korea Utara dilaporkan melancarkan peluru berpandu balistik ke perairan timur, kata Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan hari ini, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut JCS, tentera Korea Selatan mengesan satu peluru berpandu balistik yang tidak pasti jenisnya dilancarkan Korea Utara kira-kira 10.17 pagi waktu tempatan (0117 GMT) ke arah Laut Timur dari Sinpo, provinsi Hamgyong Selatan.

Pihak berkuasa perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang menganalisis butiran lanjut mengenai perkara itu. Menurut pejabat presiden Korea Selatan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara akan diadakan susulan pelancaran peluru berpandu berkenaan. 

Pelancaran peluru berpandu itu adalah yang ke-8 dilakukan Korea Utara tahun ini.

Sementara itu Korea Utara dilaporkan berkata pada 28 Sept pihaknya telah menguji peluru berpandu hipersonik Hwasong-8 yang baharu dibangunkan selepas melancarkan dua peluru berpandu balistik ke Laut Timur pada 15 Sept.

Pada 30 Sept Korea Utara juga dilaporkan menguji peluru berpandu antipesawat yang baharu. – Bernama

Seorang lelaki berjalan melepasi skrin TV menunjukkan berita melaporkan pelancaran peluru berpandu Korea Utara, di Tokyo, 19 Oktober. – AP