Korea Utara putuskan komunikasi dengan Selatan

SEOUL, 9 JUN – Korea Utara akan memutuskan komunikasi ketenteraan dan politik dengan ‘musuhnya’ Korea Selatan hari ini, kata media kerajaan, selepas ancaman aktivis menghantar risalah anti-Pyongyang menerusi sempadan.

Ancaman itu hadir ketika hubungan kedua-dua negara itu terhenti walaupun tiga persidangan antara Presiden Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in diadakan pada 2018.

Pyongyang akan ‘memutus dan menutup talian perhubungan antara pihak berkuasa kedua-dua negara, yang dihubungkan menerusi pejabat perhubungan Korea Utara-Korea Selatan’, serta hubungan komunikasi lain ‘bermula jam 12 tengah hari pada 9 Jun’, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Hubungan yang diputuskan termasuklah ‘talian komunikasi Laut Timur dan Barat’ antara tentera kedua-dua bahagian, dan talian komunikasi percubaan antara Korea, serta antara Jawatankuasa Pusat Parti Buruh Korea dan Rumah Biru Korea Selatan, lapor KCNA.

Minggu lalu, Korea Utara mengancam menutup pejabat perhubungan dengan Korea Selatan dan memberi amaran akan mengambil langkah susulan bagi memastikan Korea Selatan ‘menderita’. – AFP