Thursday, January 23, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara sahkan ujian peluru berpandu hipersonik jarak sederhana baharu

    SEOUL, 7 JAN – Korea Utara hari ini mengesahkan ia berjaya menjalankan ujian peluru berpandu balistik jarak sederhana (IRBM) baharu yang dilengkapi kepala peledak hipersonik, mendakwa sistem senjata itu pasti akan membantu dalam menghalang musuhnya di rantau Pasifik.

    Menurut agensi berita pusat Korea Utara (KCNA) yang dipetik agensi berita Yonhap, peluru berpandu itu terbang sejauh kira-kira 1,500 kilometer pada kelajuan 12 kali ganda kelajuan bunyi pada hari sebelumnya semasa ujian yang diselia oleh pemimpin Kim Jong Un.

    “Sistem peluru berpandu hipersonik ini akan dengan berkesan mengekang mana-mana pesaing di rantau Pasifik yang boleh menjejaskan keselamatan negara kita,” menurut laporan KCNA.

    Tentera Korea Selatan kelmarin mengesan pelancaran IRBM dari kawasan Pyongyang dan peluru berpandu itu dilaporkan terbang kira-kira 1,100 kilometer sebelum jatuh ke Laut Timur.

    Pelancaran peluru berpandu terbaharu Korea Utara, provokasi pertama dalam tempoh kira-kira dua bulan berlaku kira-kira dua minggu sebelum Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari.

    Ujian itu juga berlaku di tengah-tengah pergolakan politik di Korea Selatan yang tercetus akibat kegagalan Presiden Yoon Suk Yeol melaksanakan undang-undang tentera bulan lepas. – Bernama

    Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyampaikan ucapan semasa mesyuarat yang diadakan pada 23 Disember hingga 27 Disember 2024, di Pyongyang, Korea Utara. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda