Korea Utara siap sedia konfrontasi dengan AS

SEOUL, 18 JUN – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un berkata persediaan rapi perlu dilakukan bagi dialog dan konfrontasi dengan Amerika Syarikat (AS), yang kini berada di bawah pimpinan Joe Biden, lapor media tempatan, hari ini.

Menurut Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA), pada sesi pleno jawatankuasa pusat Parti Pekerja Korea yang berlangsung semalam, Jong-Un menggariskan strategi berkaitan hubungan dengan Washington dan kecenderungan dasar pentadbiran baharu AS.

Jong-Un menekankan keperluan untuk bersiap siaga bagi dialog dan konfrontasi, khususnya bersedia sepenuhnya untuk konfrontasi demi melindungi maruah negara itu dan memastikan jaminan keamanan.

Pemimpin Korea Utara menggesa tindakan yang tepat dan segera bagi mendepani situasi semasa yang berubah dengan cepat, termasuk memberi tumpuan untuk memastikan kestabilan di Semenanjung Korea, lapor agensi itu.

Pyongyang sebelum ini menuduh Biden menggunakan ‘dasar keji’ dan menyatakan adalah satu kesalahan besar bagi Demokrat veteran itu untuk menyatakan bahawa beliau akan menangani ancaman program nuklear Korea Utara melalui kaedah diplomasi dan tindakan kekerasan.

Untuk rekod, Biden sebelum ini lantang mengkritik dan memberi amaran kepada Pyongyang berhubung tindakan republik itu melakukan ujian peluru balistik yang jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam lawatan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in ke Washington bulan lalu, Biden berkata dia tidak akan bertemu Jong-Un melainkan terdapat perancangan konkrit bagi rundingan berkaitan senjata nuklear Pyongyang.

Biden turut memberitahu dia tidak akan menjalin sebarang hubungan baik dengan Jong-Un, sebagaimana pernah dilakukan oleh bekas presiden Donald Trump ketika memimpin AS. – AFP

Gambar serahan kerajaan Korea Utara menunjukkan Kim Jong Un (tengah), bercakap semasa mesyuarat Parti Pekerja di Pyongyang, Korea Utara pada 17 Jun. – AP