Korea Utara tamatkan kuarantin ke atas warga asing

SEOUL, KOREA SELATAN, 6 MAC – Korea Utara hari ini mengatakan ia telah membebaskan kira-kira 220 warga asing yang dikenakan kuarantin sebagai sebahagian daripada usaha pencegahan untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia.

Negara ini tidak mendedahkan mana-mana kes COVID-19, tetapi pihak luar ragu-ragu bahawa ia menyembunyikan kes wabak tersebut yang berlaku di negara jiran dan sekutunya berdekatan China dan telah menjangkiti lebih 98,000 orang di seluruh dunia.

Kira-kira 380 warga asing di Korea Utara telah diletakkan di bawah pengawasan perubatan, radio negeri sebelum ini melaporkan. Agensi Berita Pusat Korea berkata hari ini bahawa 221 daripadanya dibebaskan daripada ‘pemerhatian perubatan ketat’.

Beberapa saluran media asing termasuk agensi berita Tass yang dikendalikan oleh Rusia telah melaporkan beberapa warga asing di Pyongyang terpaksa dipindahkan tidak lama lagi.

Korea Utara berkata sekurang-kurangnya 7,000 rakyatnya berada dalam pengawasan perubatan. Negara itu berkata ia sedang mengukuhkan penyaringan bagi mereka yang kembali dari perjalanan luar negara atau mempunyai hubungan dengan warga asing. COVID-19 dilihat sangat sukar untuk dikenal pasti, di mana para ahli bimbang wabak itu boleh memudaratkan di negara Korea Utara yang miskin, yang mempunyai populasi kurang gizi dan kekurangan bekalan perubatan.

Negara ini telah mengharamkan pelancong asing, hampir menutup sempadannya dan menunda tempoh pengajian sekolah.

Ia juga telah menutup pejabat penghubung dengan Korea Selatan serta merta.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengarahkan kempen kuarantin yang lebih tegas dan memberi amaran ‘akibat yang serius’ jika penyakit itu menyebar ke Utara. – AFP

Tentera Korea Selatan ketika melakukan semburan untuk mencegah wabak COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu, kelmarin. – AFP