Korea Utara tuduh PBB tidak adil

SEOUL, 17 Mei – Korea Utara menyifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tidak adil kerana hanya memberikan keistimewaan kepada beberapa negara dan mendakwa sekatan dikenakan ke atas Pyongyang melanggar kedaulatannya, lapor agensi berita Yonhap.

“Ia sesuatu yang tidak boleh diterima apabila resolusi diterima pakai melalui peringkat antarabangsa, termasuk PBB dengan menggunakan kuasa untuk menekan sesebuah negara tertentu,” kata Kementerian Luar Korea Utara dalam kenyataan yang disiarkan di laman webnya.

“Ketidakadilan seperti itu jelas dapat dilihat, sekatan dikenakan hanya kerana sebelah pihak lagi engkar dan tidak menurut kehendak pihak lain,” tambah kenyataan itu.

Kementerian itu mengatakan sekatan PBB sebagai ‘pelanggaran serius terhadap kedaulatan kami’ dan Korea Utara tidak akan bertolak ansur.

Terdapat banyak ‘ketidaksamaan’ yang ketara di kalangan negara anggota PBB, sambil menambah pertubuhan itu dikawal oleh pihak tertentu. Korea Utara dikenakan sekatan Majlis Keselamatan PBB kerana program nuklear dan peluru berpandunya yang diketuai Amerika Syarikat. – Bernama