Korea Utara uji meriam roket gergasi

SEOUL, 11 SEPT – Korea Utara hari ini menyatakan ia menguji meriam pelancar roket berbilang laras gergasi semalam, lapor agensi berita Yonhap.

Pada Selasa, tentera Korea Selatan berkata, pihak Korea Utara melancarkan dua peluru meriam jarak sederhana ke arah timur dari wilayah Barat Korea Utara.

Mereka menyatakan peluru berkenaan terbang setinggi 50 hingga 60 kilometer dengan jarak kira-kira 330 kilometer.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un “menetapkan arah ujian tembakan meriam pelancar roket berkenaan pada Selasa,” lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Kim turut berkata, ujian terbaru itu mengesahkan beberapa aspek berkaitan kemampuan operasi tempur senjata berkenaan, karakter pergerakan peluru meriam, ketepatan dan beberapa fungsi berkaitan.

“Ujian berikutnya adalah membabitkan karakter paling penting berkaitan kemampuan meriam pelancar roket berbilang laras itu,” katanya.

“KCNA, bagaimanapun, tidak menyatakan sama ada ujian berkenaan berjaya atau tidak berbanding laporan sebelum ini berhubung ujian pada 24 Ogos lalu.

“Ketika itu Korea Utara mendakwa ia berjaya melakukan ujian meriam pelancar roket yang baru dibangunkan,” lapor Yonhap. – Bernama