SEOUL, 5 OGOS – Korea Utara hari ini melaporkan sifar kes demam buat hari ketujuh berturut-turut, menurut media kerajaan, menambah bahawa semua orang yang jatuh sakit sejak negara mengesahkan kes pertama jangkitan COVID telah sembuh.
Korea Utara, yang mengekalkan sekatan koronavirus yang tegas sejak permulaan pandemik, mengumumkan penularan Omicron di ibu kota Pyongyang pada Mei dan melaksanakan ‘sistem pencegahan kecemasan epidemik maksimum’.
Media kerajaan sejak itu secara teliti melaporkan jumlah kes rasmi, kematian, dalam rawatan dan pesakit yang sembuh setiap hari, dengan pemimpin Kim Jong Un meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam tindak balas kerajaan.
Korea Utara menggunakan istilah ‘pesakit demam’ berbanding ‘pesakit COVID’ dalam laporan kes, yang mungkin disebabkan oleh kekurangan keupayaan ujian.
“Tiada kes demam dilaporkan dalam masa tujuh hari kebelakangan dan semua yang menerima rawatan telah sembuh di seluruh negara,” menurut laporan agensi berita rasmi KCNA hari ini.
“Situasi keseluruhan antiepidemik di negara itu telah stabil,” tambah laporan.
Negara itu terus meningkatkan pemantauan bagi ‘subvarian baharu COVID dan penyakit lainnya’ dan akan terus memindahkan petugas kesihatan ‘sekiranya berlaku krisis’, tambahnya.
Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta kes jangkitan sejak penghujung April dengan hanya 74 kematian iaitu 0.002 peratus kadar kematian, menurut laporan KCNA. – AFP