Wednesday, December 4, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korean Air urus data kru secara ketat

    SEOUL, 7 NOV – Korean Air berkata hari ini mereka menguruskan pendedahan radiasi kosmik dengan ketat untuk kru penerbangannya, selepas keputusan penting memutuskan kematian kanser pramugara adalah bersamaan dengan kemalangan industri.

    Keputusan yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Pampasan dan Kesejahteraan Pekerja Korea yang diuruskan oleh kerajaan bulan lalu dan dihantar kepada AFP hari ini mendapati bahawa kematian seorang pramugara akibat kanser, yang telah bekerja dengan syarikat penerbangan utama selama 25 tahun, adalah hasil daripada pendedahan kepada radiasi kosmik.

    Kru penerbangan terdedah kepada tahap radiasi kosmik yang lebih tinggi secara semula jadi apabila kesan pelindung atmosfera bumi berkurangan pada ketinggian yang lebih tinggi.

    Pramugara yang dikenal pasti dengan nama keluarga Song, menghabiskan hampir 1,022 jam di dalam pesawat setiap tahun dengan hampir separuh daripada penerbangannya melibatkan laluan jarak jauh ke Amerika dan Eropah.

    Laluan sedemikian mendedahkan kru penerbangan kepada lebih banyak radiasi kosmik kerana ia melibatkan penerbangan di atas Kutub Utara, di mana radiasi sedemikian lebih tinggi disebabkan oleh medan magnet bumi.

    Song disahkan menghidap kanser perut peringkat empat pada April 2021 dan meninggal sebulan kemudian. Korean Air enggan mengulas keputusan panel itu, tetapi menafikan melaku sebarang kesalahan.

    “Korean Air menguruskan data individu secara ketat dan ahli kru boleh memeriksa jumlah pendedahan radiasi kosmik yang terkumpul, yang dikemas kini setiap bulan,” kata syarikat itu dalam kenyataan kepada AFP. Syarikat itu mengehadkan pendedahan radiasi kepada ‘kurang daripada 6mSv setahun’, katanya, yang ‘jauh lebih ketat daripada standard pendedahan radiasi maksimum yang sah hingga 50mSv setahun’. – AFP

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda