Monday, November 11, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korek pasir demi sesuap nasi

    BANGUI – Di tebing Sungai Ubangi, Odilon Salima dan rakan sekerjanya menyanyi untuk memberikan semangat kepada diri mereka bagi kerja yang bakal dilakukan.

    Pada waktu subuh, mereka sudah berada di atas air, hanya dilengkapi dengan sampan kayu dan peralatan asas.

    Bukan ikan yang dicari oleh pekerja berbadan tegap itu, tetapi satu lagi komoditi penting untuk ekonomi Republik Afrika Tengah (CAR).

    Dengan menggadai nyawa dan kesihatan mereka, pekerja yang digelar sebagai sandfisher (penggali pasir) itu menyelam jauh ke dalam sungai yang keruh untuk mengumpul pasir bagi industri pembinaan.

    Kadang-kadang, Salima yang berusia 36 tahun berkata dia menyelam sedalam tiga meter untuk mengumpul muatan seberat 35 kilogram.

    Saturnin Yenzia (kiri) menarik tali untuk mendapatkan baldi pasir ke sampannya di sungai Ubangi di Bangui pada 8 November 2023. – AFP
    Gambar AFP
    Salima membawa bakul berisi pasir, yang digali dari sungai Ubangi, di atas kepalanya di tebing sungai di Bangui pada 8 November 2023. – AFP
    Salima mengosongkan bakul berisi pasir, yang dikorek dari sungai Ubangi pada 8 November 2023. – AFP

    Penyelam bebas ini mesti menahan nafas semasa menyelam.

    Mereka bekerja dengan dayung, penyodok dan baldi yang direka khas untuk menyimpan pasir sahaja.

    “Di bawah air, saya mempunyai baldi yang mesti saya isi, dan rakan sekerja saya bertanggungjawab mengisi pirogue (sampan) dengan jumlah pasir yang diminta,” kata Salima.

    Para penggali pasir sedar akan risikonya, tetapi di salah sebuah negara termiskin di dunia, kerja berkenaan memberikan gaji yang lumayan dan mereka mempunyai keluarga untuk disara.

    Selepas pergolakan selama berpuluh-puluh tahun, konflik sivil baharu meletus di CAR selepas pengambilalihan kuasa secara ganas pada tahun 2013.

    Walaupun pertempuran telah reda beberapa tahun kemudian, serangan keganasan oleh kumpulan pemberontak atau perebutan sumber masih berlaku di kawasan luar bandar.

    Buat masa ini, kehidupan di ibu negara Bangui masih agak tenang.

    Namun, mencari rezeki adalah tugas harian yang mencabar bagi kebanyakan orang 71 peratus penduduk CAR hidup dengan pendapatan kurang daripada AS$2 sehari, menurut Bank Dunia.

    Seperti di tempat lain, pasir adalah bahan yang sangat diperlukan untuk pembinaan. Dicampur dengan simen, ia digunakan untuk membuat konkrit.

    Negara itu tidak mengimport pasir dan bergantung kepada penggalian dari Sungai Ubangi dan anak sungainya di bandar-bandar lain, atau dari kuari. Dan permintaan adalah tinggi.

    Bangui, tempat di mana Salima dan rakannya bekerja, mempunyai satu juta penduduk dan sentiasa berkembang.

    Dengan tapak pembinaan muncul bagai cendawan tumbuh lepas hujan di merata tempat, firma pembinaan membayar AS$49 untuk lapan meter padu pasir dari Ubangi.

    “Setiap hari kami mempertaruhkan nyawa demi menyara keluarga kami,” keluh Salima, seorang bapa kepada dua anak.

    Dia telah menjadi penggali pasir selama enam tahun.

    Dia memperoleh 10,000 FCFA sehari, bersamaan sekitar 15 euro, tetapi separuh daripada pendapatannya digunakan untuk menyewa pirogue.

    Walau bagaimanapun, dia masih mendapat lebih daripada kebanyakan orang, kerana purata pendapatan bagi penggali pasir ialah 7,000 FCFA untuk 12 jam hari bekerja.

    “Saya menyimpan sebahagian daripada gaji saya untuk membiayai persekolahan anak-anak, untuk menyara keluarga saya,” kata Salima.

    Walaupun kehidupan tetap sukar, dia memperoleh dua kali ganda pendapatan purata negara.

    Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan bahawa pada tahun 2023, lebih separuh daripada penduduk tidak mempunyai makanan yang cukup.

    Kira-kira 56 peratus bergantung kepada bantuan kemanusiaan di CAR, yang merupakan antara empat negara paling kurang membangun di dunia.

    Salima berkata dia mengalami masalah pendengaran, sakit kepala, masalah belakang, paru-paru dan pernafasan.

    “Tetapi kesihatan kami adalah perkara terakhir yang perlu kami risaukan,” katanya.

    “Dengan perbelanjaan di rumah, hampir tiada apa-apa yang tinggal untuk berjumpa doktor yang baik dan membeli ubat.”

    Max-Benjamin Bagaza, seorang doktor di hospital besar Bangui, telah melihat kesan menyelam ke atas beberapa penggali pasir yang datang untuk mendapatkan rawatan.

    “Menyelam dengan pergerakan berulang dan intensif boleh mengakibatkan kecederaan sendi atau lesi otot,” katanya.

    Risiko lemas juga menghantui para penyelam dan ada yang kehilangan nyawa, walaupun tiada angka rasmi dalam sektor tidak formal ini.

    “Pernah sekali, dengan angin kencang, pirogue kami terbalik. Malangnya, salah seorang rakan sekerja kami lemas,” kata Salima.

    Kebanyakan mereka menganggur sebelum menjadi penyelam, seperti Janet Botsilia, 42, yang mula menjadi penggali pasir 10 tahun lalu.

    “Kita berada di negara di mana mencari pekerjaan adalah hampir mustahil. Lebih teruk lagi bagi kami yang tidak mempunyai diploma,” katanya.

    Dahulu seorang penyelam, kini beliau adalah presiden Persatuan Sandfishers dan memiliki 14 pirogue, yang disewakannya.

    “Hasil perniagaan inilah kami di sini termasuk golongan muda yang bekerja untuk saya berjaya menyara keluarga kami,” tambahnya.

    Pakar ekonomi, Didace Sabone berkata sektor ini mesti dijadikan sebahagian daripada ekonomi formal bagi memastikan keselamatan penyelam.

    Untuk melakukan perkara tersebut, katanya, ia memerlukan peralatan, jentera berat dan ‘banyak sumber’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda