Koronavirus: 176 warga Kanada selamat pulang

MONTREAL, 7 FEB – Sebuah kapal terbang yang membawa pulang warga Kanada pertama dari Wuhan, pusat epidemik koronavirus, mendarat hari ini di pangkalan tentera Kanada di mana mereka akan dikuarantin.

Pesawat yang disewa kerajaan itu mendarat di pangkalan tentera udara Trenton di timur Toronto sejurus selepas pukul 6:30 pagi, selepas singgah di Vancouver, televisyen TV Kanada menyiarkan. Ia membawa 176 penumpang.

Sebuah kapal terbang lain dengan puluhan warga Kanada juga mendarat di Vancouver, menurut penyiar awam CBC. Penumpang berkenaan akan menaiki penerbangan bersambung ke Trenton pada lewat hari ini.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Perancis telah pun menghantar pulang rakyat mereka dari Wuhan.

Namun dengan Ottawa dan Beijing mempunyai hubungan tegang mengenai isu lain, penerbangan Kanada mengambil masa yang lebih lama untuk diluluskan oleh pihak berkuasa China.

Kumpulan warga Kanada itu akan tinggal di pangkalan Trenton selama 14 hari, tempoh inkubasi untuk penyakit tersebut.

Mana-mana individu yang menunjukkan gejala jangkitan akan dihantar ke hospital untuk rawatan, beritahu Menteri Kesihatan Patty Hajdu pada persidangan akhbar semalam.

Menteri Luar Francois-Philippe Champagne berkata dua pertiga daripada warga Kanada yang berusaha mendapatkan bantuan untuk keluar dari Wuhan dijangka kembali dengan dua penerbangan.

Pada pengiraan terakhir, 347 warga Kanada telah meminta untuk dipindahkan.

Satu lagi penerbangan dijadual berlepas dari Wuhan pada 10 Februari dan tiba pada hari berikutnya. – AFP