Koronavirus gagal halang ziarah besar-besaran Ganges

HARIDWAR, INDIA, 14 JAN – Beratus ribu penziarah Hindu mengunjungi Sungai Ganges hari ini, lebih mengutamakan kepercayaan berbanding penutup mulut dan hidung bagi melindungi mereka daripada pandemik koronavirus semasa festival Kumbh Mela.

Sehingga sejuta orang dijangka tiba di bandar Haridwar pada hari pertama ziarah, meskipun India mempunyai jumlah kes kedua tertinggi di dunia, dengan lebih 10 juta dan mencecah lebih 150,000 kematian.

Kebanyakan penziarah, berusia antara tiga tahun dan lebih 80 tahun, yang meredah sungai separa lutut dalam keadaan beku awal pagi tanpa memakai sebarang penutup mulut dan hidung serta tidak menghiraukan penjarakan fizikal, menjadi igauan ngeri pihak berkuasa. Pegawai kanan polis Senthill Avoodai K.Raj yang meramalkan antara 500,000 sehingga 1 juta orang akan memasuki bandar itu dalam sehari, mengatakan beribu-ribu pasukan keselamatan dikerahkan bagi memaklumkan orang ramai untuk memakai penutup mulut dan hidung. Menurutnya, denda boleh dikenakan kerana melanggar peraturan COVID-19.

“Pandemik sedikit membimbangkan, namun kami mengambil semua langkah berjaga-jaga,” kata penganjur Siddharth Chakrapani.– AFP

Seorang penziarah Hindu memegang gambarnya bersama mendiang suami ketika berendam dalam Sungai Ganges pada festival Kumbh Mela di selatan Kolkata, 14 Jan. – AFP