Koronavirus ‘kecemasan kesihatan terbesar’ China – Xi

BEIJING, 23 FEB – Epidemik koronavirus yang telah membunuh lebih daripada 2,400 orang adalah ‘kecemasan kesihatan awam terbesar’ negara komunis China sejak ia ditubuhkan pada 1949, kata Presiden Xi Jinping hari ini.

Adalah perlu untuk mempelajari daripada ‘kelemahan yang jelas terdedah’ ketika respons China, tambah Xi pada satu mesyuarat rasmi untuk menyelaras usaha membendung virus tersebut – pengiktirafan luar biasa oleh seorang pemimpin China. Dalam komen yang dilaporkan oleh penyiar CCTV, Xi berkata epidemik itu ‘mempunyai penyebaran terpantas, jangkitan paling meluas dan yang paling sukar untuk dicegah dan kawal.’

“Ia adalah krisis yang kami hadapi dan ia adalah ujian besar,” kata beliau. Komen Xi keluar tatkala jumlah jangkitan virus mencecah hampir 77,000 di China – dengan negara seperti Korea Selatan mengambil langkah berwaspada dan Itali juga melaksana langkah-langkah pencegahan.

Xi mengakui hari ini bahawa wabak akan ‘memberi kesan besar ke atas ekonomi dan masyarakat,’ namun menekankan bahawa kesan adalah bersifat ‘jangka pendek’ dan boleh dikawal. – AFP