Koronavirus mampu hidup pada kulit 9 jam

TOKYO, 18 OKT – Para penyelidik Jepun mendapati virus COVID-19 mampu hidup di permukaan kulit manusia sehingga sembilan jam, dalam satu penemuan yang mereka katakan menunjukkan keperluan untuk sentiasa mencuci tangan bagi mengekang pandemik COVID-19.

Patogen yang menjadi penyebab selesema mampu bertahan pada kulit manusia kira-kira 1.8 jam sebagai perbandingan dengan COVID-19, menurut kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Penyakit Berjangkit Klinikal bulan ini.

“Daya tahan virus SARS-CoV-2 (jenis virus yang menyebabkan COVID-19) selama sembilan jam pada kulit manusia, berupaya meningkatkan risiko pemindahan daripada kontak jika dibandingkan virus Influenza A, sekali gus akan meningkatkan penyebaran pandemik itu,” menurut laporan terbabit.

Pasukan penyelidik terbabit membuat ujian pada kulit yang diambil daripada spesimen dibedah siasat selepas sehari meninggal dunia.

Penyelidik mendapati virus COVID-19 dan virus selesema menjadi tidak aktif dalam tempoh 15 saat apabila diletakkan etanol yang digunakan pada cecair pembasmi kuman.

“Lebih lama virus COVID-19 berada pada kulit, lebih tinggi risiko pemindahan kontak, justeru penggunaan cecair pembasmi kuman dapat mengurangkan risiko jangkitan,” kata kajian tersebut.

Penyelidikan itu menyokong nasihat dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggalakkan tangan dibasuh lebih kerap bagi mengelak jangkitan COVID-19. – AFP