Koronavirus mungkin dari kelawar atau ular

TOKYO, 23 JAN – Koronavirus baharu yang tercetus di China, mungkin berasal daripada kelawar atau ular, menurut hasil analisis terhadap genetik virus itu yang sudah meragut 17 nyawa, setakat ini.

Teori itu adalah berdasarkan pemeriksaan terhadap urutan genom virus terbabit yang diberikan pihak berkuasa, dengan dua kajian menunjukkan kemungkinan peranan kelawar dalam wabak terbabit.

Satu kajian diterbitkan pada Selasa dalam jurnal ‘Science China Life Sciences’, meneliti kaitan antara koronavirus baharu itu dengan virus lain, dan mendapati ia berkait rapat dengan jenis yang wujud dalam kelawar.

“Kelawar sebagai hos asli CoV (coronavirus) Wuhan merupakan alasan lebih logik dan mudah, walaupun berkemungkinan terdapat hos pertengahan dalam pemindahan daripada kelawar kepada manusia,” menurut penyelidik daripada beberapa institusi di China dalam kajian itu.

Namun, kajian kedua yang diterbitkan kelmarin dalam ‘Journal of Medical Virology’ mengenal pasti ia berkemungkinan adalah ular.

Penyelidik terbabit bagaimanapun memberi amaran bahawa rumusan yang mereka dapati itu memerlukan ‘pengesahan lanjut oleh kajian eksperimen’ dalam model haiwan.

Kajian itu juga tidak menjelaskan bagaimana virus berkenaan mungkin dipindahkan daripada haiwan kepada manusia. – AFP