SYDNEY, 4 FEB – Penularan koronavirus ke serata dunia turut membawa bersamanya perasaan xenofobia yang menyaksikan masyarakat Asia di seluruh dunia menjadi mangsa rasisme.
Laporan dari seluruh dunia menunjukkan berlaku peningkatan sindiran atau cemuhan terhadap etnik Asia terutama yang berketurunan Cina, tidak kira sama ada mereka pernah mengunjungi China atau sebaliknya. Menurut Australasian College for Emergency Medicine, ia berlaku kerana ‘salah maklumat’ yang mendorong tanggapan negatif berdasarkan etnik seseorang, di mana dalam konteks sekarang, koronavirus dikaitkan dengan etnik Asia atau yang mirip dengan mereka.
Terdapat laporan mengatakan pelancong China di Venice, Itali diludah, sebuah keluarga di Turin dituduh sebagai pembawa koronavirus dan ibu-ibu di Milan menggunakan media sosial bagi mendesak anak-anak mereka diasingkan daripada rakan sekelas berketurunan China.
Di Kanada, tersebar luas rakaman aksi seorang lelaki kulit putih mengejek rakan senegara berketurunan China dengan berkata “koronavirus anda tercicir”, ketika berada di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah.
Di Malaysia, satu petisyen ‘melarang rakyat China daripada memasuki negara kita yang tercinta’ menerima hampir 500,000 tandatangan dalam masa seminggu.
Isu penyakit dikaitkan dengan etnik tertentu bukan perkara baharu, malah seawal 1900, pendatang dari Ireland di Amerika Syarikat (AS) dikaitkan dengan penularan demam kepialu, Typhoid Mary.
Pengarah Kesihatan dan Biosekuriti, Agensi Sains dan Penyelidikan Australia (CSIRO), Rob Grenfell, berkata ia adalah fenomena yang biasa berlaku.
“Bila berlaku wabak, sejarah membuktikan manusia cenderung mengaitkannya kepada kumpulan tertentu masyarakat.
“Sama seperti serangan wabak ketika zaman pertengahan Eropah, di mana warga asing atau kumpulan keagamaan sering menjadi sasaran tuduhan.
“Memanglah koronavirus ini berpunca dari China tetapi tiada sebab bagi kita menyalahkan kaum Cina,” katanya. – AFP




























