Kos bahan api jejas keuntungan Qantas

SYDNEY, 21 Feb – Syarikat penerbangan Qantas Australia hari ini mengumumkan penurunan untung bersih sebanyak 16 peratus bagi tempoh enam bulan terakhir 2018 selepas kos bahan api meningkat.

Keuntungan bersih untuk tempoh tersebut adalah AUS$498 juta berbanding rekod AUS$595 juta yang diperoleh untuk tempoh sama pada 2017. Keuntungan mendasar tidak termasuk ‘one-off item’ yang turun 18.7 peratus kepada AUS$780 juta, syarikat itu melaporkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce menyifatkan keuntungan turun AUS$416 juta akibat kos bahan api sebanyak AUS$2 bilion syarikat untuk tempoh itu.

“Harga minyak yang lebih tinggi merupakan cabaran terbesar dan kami bergerak pantas untuk pulih secepat mungkin,” katanya.

“Unjuran itu lebih mudah untuk dicapai dalam pasaran domestik berbanding laluan antarabangsa yang lebih jauh di mana bahan api adalah faktor yang lebih besar.”

Syarikat penerbangan itu berkata ia dijangka mampu menangani kos bahan bakar yang lebih tinggi menjelang akhir tahun fiskal 2019 pada bulan Jun.

Perolehan syarikat merentas semua aktiviti meningkat enam peratus dalam tempoh enam bulan yang sama, didorong oleh prestasi kukuh dalam laluan domestik oleh Qantas dan syarikat tambang murah Jetstar.

Prospek keuntungan pada masa depan kelihatan baik, kata Joyce dengan harga bahan bakar dijangka turun ketika syarikat melancarkan pesawat Boeing 787 yang lebih jimat bahan api dan 747 yang bakal bersara. – AFP