Kos pembinaan RTS dianggarkan RM10 bilion

JOHOR BAHRU, 30 JULAI – Kos keseluruhan pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS)  yang menghubungkan Malaysia dan Singapura di sini dianggarkan bernilai kira-kira RM10 bilion, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah itu, 61 peratus daripadanya dibiayai oleh kerajaan Singapura manakala 39 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

“Berdasarkan kepada perjanjian Singapura-Malaysia, nisbah (kos) ialah 61:39, jumlahnya lebih kurang RM10 bilion. Singapura akan membiayai 60 hingga 61 peratus manakala pihak kita pula ialah 39 peratus dengan kos RM3.716 bilion.

“Maka, kos RM10 bilion itu ialah untuk jarak sepanjang empat kilometer. Jarak Malaysia ialah kira-kira 2.7 km dan 1.3 km untuk Singapura,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Wee juga berkata pembinaan RTS berkenaan akan dilakukan dalam dua fasa iaitu bahagian pertama pada awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi fasa pembinaan atau pembangunan struktur sivil.

Fasa dua pula akan bermula awal 2025 hingga akhir 2026, melibatkan pembinaan sistem seperti isyarat, ‘rolling stock’, telekomunikasi, dan pengujian sistem. – Bernama

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bercakap pada sidang media berhubung projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura kelmarin. – Bernama