Kos tinggi punca jutaan warga AS abai penjagaan gigi

WASHINGTON – Gusi bengkak, gigi rosak, pesakit dalam kesakitan yang teramat sangat, kanak-kanak takut untuk tersenyum.

Inilah yang dilihat oleh Roslyn Kellum dan rakan-rakannya apabila mereka menjelajah Amerika Syarikat (AS) dengan van treler untuk menyediakan penjagaan mulut yang sangat diperlukan kepada puluhan ribu pesakit yang tidak mampu berjumpa doktor gigi.

“Mereka memilih antara merawat gigi atau membayar bil, atau mengisi minyak, atau makanan di atas meja, atau membayar sewa,” beritahu Kellum, pengarah pergigian di Mission of Mercy, sebuah badan amal Kristian yang menyediakan rawatan perubatan dan pergigian percuma kepada rakyat Amerika yang berpendapatan rendah di beberapa negeri AS, kepada AFP.

“Jadi mereka memilih untuk mengisi minyak kereta atau makanan di atas meja dan mengabaikan gigi mereka.”

Penyokong penjagaan kesihatan telah berharap rancangan perbelanjaan sosial Presiden Joe Biden yang besar akhirnya akan mengembalikan semula keadaan yang telah berlarutan selama beberapa dekad di mana faedah pergigian dikecualikan daripada pelan insurans kesihatan nasional untuk berjuta-juta warga emas Amerika.

Beberapa pesakit menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di klinik pergigian di Bread for the City. – AFP
Chaina Cooper, pakar kebersihan pergigian berdaftar, melakukan pemeriksaan ke atas pesakit di klinik pergigian di Bread for the City, sebuah badan amal yang berpangkalan di Washington, DC. – AFP
Seorang lelaki melintasi Bread for the City, sebuah badan amal yang berpangkalan di Washington, DC. – AFP
Kelihatan Chaina Cooper melihat sinar-X gigi pesakit. – AFP

Ketua Pegawai Perubatan di Bread for the City, Dr Randi Abramson ketika ditemui pemberita. – AFP

Tetapi berhadapan dengan bantahan daripada kedua-dua Republikan dan ahli Parti Demokratnya sendiri, Biden terpaksa mengurangkan dengan ketara rancangannya dan penjagaan mulut telah dikecualikan daripada pelan tindakan terkini yang bernilai AS$1.75 trilion.

Dari segi sejarah, penjagaan pergigian telah diasingkan daripada penjagaan kesihatan am di AS, dan apabila Medicare, program insurans kesihatan kebangsaan untuk warga tua dan orang kurang upaya, ditubuhkan pada tahun 1965, faedah pergigian telah ditinggalkan.

“Mengekal gigi awda semasa awda semakin tua tidak sepatutnya menjadi satu kemewahan di negara ini,” tegas Senator Demokrat Bernie Sanders baru-baru ini.

Tetapi ia satu kemewahan bagi kebanyakan warga AS. Maria Hernandez, 53, seorang pembekal penjagaan di rumah di Washington, tidak mempunyai insurans pergigian dan tidak mampu membayar.

Awal minggu ini dia pergi untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan giginya di klinik percuma yang dikendalikan oleh Bread for the City, sebuah badan amal yang menyediakan makanan dan rawatan perubatan kepada komuniti yang kurang bernasib baik di ibu negara AS.

Tetapi Hernandez memberitahu mengenai rakannya, yang juga tidak memiliki insurans tetapi tidak menyedari klinik itu, merasa sakit gigi teruk sehingga dia cuba mencabutnya sendiri di rumah.

“Saya fikir ia benar-benar teruk. Ramai orang di selatan, mereka tidak boleh membayar kerana penjagaan pergigian benar-benar mahal,” kata Hernandez merujuk kepada kawasan yang kurang bernasib baik di Washington kepada AFP.

“Kami berpendapatan rendah, kami tidak mampu membayarnya.”

‘Menyayat hati’

24 juta warga emas AS, atau hampir separuh daripada mereka yang mendaftar dalam Medicare, tidak mempunyai sebarang perlindungan pergigian, menurut satu kajian baru-baru ini oleh Kaiser Family Foundation, organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada dasar kesihatan.

Pelan insurans persendirian boleh jadi mahal dan membayar untuk perkhidmatan pergigian adalah sangat mahal di AS, di mana pemeriksaan rutin boleh menelan belanja beberapa ratus dolar, manakala rawatan yang lebih serius seperti penampalan atau rawatan saluran akar boleh menelan kos ribuan dolar.

Hampir separuh daripada semua penerima Medicare tidak melawat doktor gigi sepanjang tahun lalu, menurut kajian Kaiser. Kadar itu lebih tinggi untuk minoriti 68 peratus penduduk Afrika Amerika dan 61 peratus untuk Hispanik, satu lagi tanda ketidaksamaan kaum yang membelenggu sistem penjagaan kesihatan AS.

Sementara itu, Medicaid, program insurans kesihatan negara untuk golongan berpendapatan rendah, menawarkan perlindungan pergigian yang rosak, dengan banyak negeri tidak menyediakan faedah pergigian dan hanya 43 peratus doktor gigi menerima Medicaid.

“Tanpa diragui lagi, sebab utama orang ramai tidak mendapatkan penjagaan pergigian adalah kerana kos,” kata Mary Nordridge, pengarah penyelidikan pergigian di NYU Langone Health.

Selain kesakitan fizikal, ketidakselesaan, dan risiko masalah kesihatan yang lebih meluas berpunca daripada penyakit mulut, gigi yang rosak atau hilang memberikan kesan psikologi yang besar ke atas orang ramai, dengan kanak-kanak takut untuk bercakap di dalam kelas dan orang dewasa tidak dapat mencari pekerjaan, terutamanya dalam industri perkhidmatan.

“Apabila orang mendapat gigi palsu, kebanggaan yang mereka rasa apabila mereka boleh tersenyum, ia amat menyayat hati,” kata Randi Abramson, ketua pegawai perubatan di Bread for the City.

“Orang ramai kagum kerana mereka rasa lebih yakin, mereka boleh tersenyum semula. Dan ia membuat perubahan besar dalam kehidupan seseorang.”

Cadangan Biden untuk memasukkan rawatan pergigian dalam Medicare telah ditentang oleh Persatuan Pergigian Amerika yang berpengaruh, mengatakan manfaat harus disasarkan secara khusus kepada penerima Medicare termiskin.

Tetapi penyokong seperti Kellum, pengarah pergigian di Mission of Mercy, menegaskan bahawa penjagaan mulut harus diberikan kepada semua rakyat AS dan berharap beberapa faedah pergigian akan dikembalikan semula dalam rancangan Biden. – AFP