ALOR GAJAH – Bagaikan sebuah permata warisan yang ditinggalkan, Kota Linggi atau lebih dikenali sebagai Kota Bukit Supai kini terbiar sepi walaupun menyimpan pelbagai lipatan sejarah mengenai Bugis, Belanda dan Empayar Kesultanan Melayu Melaka di sini.
Dipercayai dibina sekitar 1870an oleh Belanda dan Bugis di muara Sungai Linggi sebagai tanda perdamaian, penduduk yang sekian lama melihat kota itu dimamah usia memohon semua pihak agar permata warisan itu tidak dibiarkan sepi dan dihidupkan semula sebagai produk pelancongan.
Penduduk Kampung Kuala Linggi, Salmah Harun yang mengusahakan warung sarapan pagi di pintu masuk kota itu berkata, terdapat usaha daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) dan Majlis Daerah Alor Gajah (MPAG) memperkenalkan kawasan itu sebagai produk pelancongan namun gagal bertahan lama.
Salmah, 48, bersama penduduk kampung mengambil inisiatif menghidupkan semula kawasan itu dengan mengusahakan perniagaan kecil makanan dan minuman sejak empat bulan lepas bagi pengunjung, selain medan ikan bakar yang sedia ada di kawasan itu dibuka pada waktu malam.
“Masalah paling besar kita hadapi ialah tempat ini jauh berbanding kawasan pelancongan lain seperti di Bandar Hilir terletak di tengah-tengah Bandaraya Melaka, sedangkan kota ini kira-kira 50km (dari Bandaraya Melaka), terletak di kawasan sempadan Melaka dan Negeri Sembilan, jadi pelancong susah juga nak datang.



“Mungkin ada cara lain untuk perkenalkan kawasan ini kepada pengusaha agensi pelancongan supaya bawa rombongan pelancong. Orang kampung sedia bekerjasama kerana sudah lama sangat kita tengok kota ini sepi, sedih sebagai orang sini warisan kita dibiarkan begitu sahaja,” katanya kepada media.
Menurut maklumat daripada Perzim, nama Kota Bukit Supai diberikan oleh Belanda kerana apabila siap dibina, pihak Belanda telah menempatkan askar upahan mereka yang dipanggil tentera ‘sipoi’ dan dikenali dengan nama Kota Belanda, Kota Meriam Patah dan Kota Filipina.
Kota itu juga menjadi lokasi strategik bagi Belanda meninjau pergerakan musuh selain sebagai kota pertahanan, dan berperanan sebagai tempat memungut cukai hasil bijih timah yang dibawa dari Rembau dan Linggi, yang akhirnya terbiar selepas Belanda meninggalkan Melaka.
Penyelia kilang elektronik, Tham Zhee Meng, 39, yang sering ke kawasan itu untuk memancing memberitahu kota itu sebuah tapak warisan dilindungi dan dalam laman web Jabatan Warisan Negara mendapati nama Kota Linggi itu tersenarai dalam Daftar Warisan.
“Ini sebuah warisan diiktiraf jadi daripada situ sudah tahu kota ini amat tinggi nilai sejarahnya, jadi apabila kita tahu nilainya tinggi mudah untuk gerakkan ia menjadi produk pelancongan kerana Melaka kaya dengan nilai sejarah yang dijadikan produk pelancongan,” katanya yang tinggal di Rembia di sini.
Tham berkata selain nilai sejarah, kawasan persekitaran muara sungai yang damai membuatkan kaki pancing seperti dirinya tertarik untuk memancing di kawasan itu dan persekitaran tenang serta indah itu juga berpotensi dipopularkan sebagai faktor penarik pelancong ke kawasan itu.
Cadangan itu disokong seorang nelayan, Abu Bakar Md Piah, 57, yang berpendapat gandingan kekayaan nilai sejarah Kota Bukit Supai bersama alam semula jadi di sekitarnya terutama di muara Sungai Linggi amat berpotensi untuk dimajukan sebagai produk pelancongan.
“Saya suka datang di kota itu bila waktu malam kerana daripada kawasan tinggi kota itu boleh tengok kawasan muara yang cantik dengan lampu-lampu bot nelayan, selain kita boleh lihat banyak kapal belayar di kawasan Selat Melaka, memang amat cantik,” katanya.
Beliau, yang juga penduduk Kampung Kuala Linggi berkata, sekiranya Kota Bukit Supai dibiarkan sepi seperti hari ini, penduduk di kawasan itu risau kota ini akan hilang dalam lipatan sejarah, malah lebih membimbangkan runtuh dan lenyap daripada pengetahuan generasi akan datang.
Ketua Menteri Melaka Adly Zahari ketika bercakap kepada media menyatakan bahawa produk pelancongan luar bandar seperti Kota Bukit Supai menjadi antara komponen utama yang sedang dirancang kerajaan negeri sebagai daya menarik pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Beliau berkata, sejak sekian lama pelancong dalam dan luar negara mengenali produk pelancongan Melaka yang tertumpu di kawasan Bandar Hilir seperti bangunan merah Stadthuys, Kota A’Farmosa, Bukit St Paul dan barisan muzium.
“Kita mahu perkenalkan kepelbagaian produk pelancongan di negeri ini dan tidak terlalu tertumpu di kawasan Bandar Hilir sahaja, kerana itu kita akan gerakkan usaha memperkenal produk pelancongan di kawasan luar bandar seperti Kota Bukit Supai ini.
“Mungkin ada kekangan seperti jarak dan sebagainya tetapi kita akan buat perancangan bagaimana kita boleh perkenal semua produk pelancongan luar bandar berpotensi dengan cara berkesan,” katanya. – Bernama




























