Sunday, February 16, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kota Junior kejutkan Kuantan Rangers

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April – Kota Junior menewaskan Kuantan Rangers 3-2 dalam perlawanan pertunjukkan mendebarkan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah semalam.

    Di dalam perlawanan pertama menentang pasukan antarabangsa untuk kedua-dua belah pihak, juara bertahan Brunei Futsal League (BFL) Kota Junior dan pasukan baru dari Malaysia, Kuantan Rangers tidak mengecewakan selepas aksi hebat dalam babak kedua.

    Perlawanan pertunjukkan tersebut dihadiri oleh Yang Amat Mulia Tengku Ariff Temenggong Pahang Tengku Arif Mua’dzam Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Mohd Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad, Pemangku Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) Haji Madli bin Haji Mohd Yusof serta pegawai-pegawai kanan dari kementerian dan NFABD.

    Kuantan Rangers, yang ditubuhkan pada bulan November, menguasai awal permainan dan mengehadkan Kota Junior hanya dengan serangan balas.

    Kuantan Rangers hampir membuka jaringan apabila percubaan mereka terkena tiang goal dalam pertengahan babak pertama, di mana kedua-dua pasukan berterusan menguji kebolehan antara satu sama lain.

    Antara aksi menarik dalam perlawanan antara Kota Junior dan Kuantan Rangers yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
    Antara aksi menarik dalam perlawanan antara Kota Junior dan Kuantan Rangers yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

    Kedua-dua kelab sukar untuk membolosi pertahanan masing-masing, dan pada akhirnya, satu kesilapan daripada penjaga gol Kuantan Rangers telah membolehkan Kota Junior membuka jaringan.

    Penjaga gol Kuantan Rangers didapati berada di luar posisi apabila dia kehilangan bola, dan apabila pemain Kuantan Rangers mengawal bola ketika mempertahankan gol, Kota Junior diberikan sepakan penalti yang disudahi oleh Mohammad Nor Azizam Roslam.

    Pemain Kuantan Rangers, Ahmad Harith Naim Mohd Nasir menyamakan kedudukan beberapa saat kemudian dengan ledakan tajam dari sebelah kanan, namun Kota Junior menjaringkan lagi tiga minit kemudian apabila Mohammad Faiz @ Fayz Hasnan menewaskan penjaga gol Kuantan Rangers.

    Kota Junior menjadi lebih yakin dan Mohammad Faiz sekali lagi menemui sasaran selepas menerima hantaran dari Nur Yamin Haji Muhammad.

    Walau bagaimanapun, Kuantan Rangers tidak berputus asa dan kapten Mohd Akhmall Abdullah melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-2.

    Penolong jurulatih Kota Junior, Mohd Sahan Mumtazali memuji Kuantan Rangers kerana memberikan mereka saingan yang hebat.

    “Kami menentang pasukan yang kuat dari Pahang dan mereka berjaya membuatkan kami kucar-kacir dan menyebabkan pemain kami keluar dari posisi. Namun itu, kita tidak hilang fokus. Kita memerlukan lebih banyak perlawanan persahabatan seperti ini,” katanya.

    “Kita dapat belajar daripada kesilapan kita dan kami memberi motivasi kepada diri sendiri dari minit ke minit.

    “Walaupun kami membiarkan gol penyamaan hanya beberapa saat selepas kami menjaringkan gol pembukaan, kami tidak membiarkannya menurun semangat kami. Kami kuat dari segi mental dan pemain tidak berputus asa,” katanya.

    Jurulatih Kuantan Rangers, Mohammad Faizul Abdul Gaffar pula berkata bahawa dia berpuas hati dengan prestasi pemainnya.

    “Kami tidak tahu banyak mengenai Kota Junior. Kita hanya tahu ia sebuah pasukan yang bagus, jadi tugas kita adalah untuk memberikan saingan, “katanya.

    “Pemain kami cuma bermain bersama selama lima bulan tetapi saya gembira untuk mengatakan bahawa mereka berkembang dengan baik,” katanya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda