Kota Kinabalu kini zon merah

KUALA LUMPUR, 17 APRIL – Daerah Kota Kinabalu, Sabah kini dikategorikan sebagai Zon Merah COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan zon itu kepada 28 kawasan seta-kat 12 tengah hari semalam, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Berdasarkan infografik CPRC KKM yang dikongsikan melalui media sosial rasmi KKM hari ini, daerah  itu merekodkan 42 kes positif COVID-19.

Kota Kinabalu ialah daerah kedua di Sabah dikategorikan Zon Merah selepas Tawau.

Sementara itu, Lembah Pantai di Kuala Lumpur terus menjadi kawasan tertinggi positif COVID-19 iaitu sebanyak 592 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling di Selangor, masing-masing merekodkan 446 dan 366 kes.

Zon Merah mewakili jumlah positif COVID-19 melebihi 41 kes, Zon Jingga (20-40 kes), Zon Kuning (1-19 kes) dan Zon Hijau tiada kes.

Negeri Selangor masih mencatat bilangan kes positif COVID-19 tertinggi iaitu 1,329 kes.

Lokasi Zon Merah seluruh Malaysia termasuk dua di Perak iaitu di Hilir Perak (65 kes) dan Kinta (93); enam di Selangor iaitu Sepang (70), Petaling (366), Hulu Langat (446), Gombak (143), Klang (172) dan Hulu Selangor (49); empat di Kuala Lumpur iaitu Cheras (82), Kepong (148), Lembah Pantai (592) dan Titiwangsa (130); Putrajaya (55); dua di Negeri Sembilan iaitu Seremban (288) dan Rembau (53); dua di Melaka iaitu Jasin (68) dan Melaka Tengah (51); dua di Pahang iaitu Kuantan (114) dan Jerantut (72); empat di Johor iaitu Batu Pahat (52), Kluang (221), Johor Bharu (185) dan Muar (47), satu di Kelantan iaitu Kota Bharu (90); dua di Sarawak iaitu Kuching (255) dan Kota Samarahan (55); dua di Sabah iaitu Tawau (79) dan Kota Kinabalu dengan 42 kes.