Kota Paris kembali dibuka buat kali pertama

PARIS – Selepas dua bulan berada dalam perintah berkurung, Paris secara perlahan-lahan mula membuka semula kota itu kelmarin dengan pendandan rambut, kedai bunga, salon kuku dan beberapa buah perniagaan lain dibuka semula – tetapi dengan peraturan mandatori penjarakan sosial.

Paris perlu kembali pulih sejak hari pertama peraturan perintah berkurung dilonggarkan. Penjaga kedai yang berusaha untuk memulihkan kerugian terpaksa menunggu beberapa hari bagi warga Paris untuk menemui semula kehidupan harian sebelum koronavirus menyekat sebahagian besar kehidupan orang awam.

“Tindakan ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu kita pikul,” kata Edouard Lefebvre, yang mengetuai daerah perniagaan di Champs-Elysees Avenue, penuh sesak dengan penduduk tempatan dan pelancong asing pada waktu biasa.

Hanya separuh dari kedai-kedai di kawasan tersebut dibuka semula pada Isnin, kata Lefebvre, mencerminkan persediaan yang menyeluruh diperlukan untuk menjamin keselamatan pelanggan dan sikap ragu-ragu bagi kebanyakan orang terhadap rutin pra-pandemik.

“Pelanggan-pelanggan tidak akan kembali semula dalam tempoh satu hari. Ia mengambil masa untuk membiasakan kembali ke Champs-Elysees, untuk kembali semula ke Paris,” kata Lefebvre berkata dalam temu bual dengan Associated Press.

Kenderaan mula memenuhi bandar Paris dan sebilangan orang menggunakan basikal untuk pergi ke mana-mana. Penduduk Perancis telah dibenarkan untuk keluar dari rumah selepas dua bulan dalam perintah berkurung.- AP
Seorang tukang gunting memulakan semula perniagaannya di Sevres, luar bandar Paris. Kedai-kedai seperti kedai pendandan rambut, kedai bunga, salon kuku dan beberapa buah perniagaan lain dibuka semula selepas kerajaan melonggarkan perintah berkurung.- AP
Seorang pelanggan membeli cenderahati di sebuah muzium di Paris. Sebahagian kedai kini dibenarkan dibuka semula dengan peraturan tertentu bagi langkah-langkah perlindungan.- AFP

Kenderaan-kenderaan mula membanjiri jalan-jalan raya kembali, tetapi tiada kesesakan lalu lintas dilaporkan, dan sebilangan orang menggunakan basikal untuk pergi ke mana-mana.

Restoran-restoran masih menunggu bila mereka boleh kembali memulakan perniagaan dan kehidupan kafe dapat di-sambung semula di bawah kelonggaran sekatan pemerintah Perancis yang secara bertahap dikenakan untuk membendung wabak koronavirus negara itu.

Perancis telah dilanda teruk oleh COVID-19 dengan lebih dari 26,600 kematian yang berkaitan dengan virus pada Isnin malam. Virus tersebut belum dibendung sepenuhnya. Pihak berkuasa berusaha untuk mengimbangi antara kesihatan orang awam dan meningkatkan ekonomi ketika kes-kes tinggi, membuka semula banyak sektor di seluruh negara. Mereka akan menilai semula keadaan dalam tempoh tiga minggu, berhati-hati dengan gelombang kedua.

Seorang pekerja binaan di projek kediaman Left Bank yang sudah bekerja selama dua tahun berkata ia satu kelegaan untuk kembali bekerja semula selepas berada dalam perintah berkurung dalam tempoh yang lama.

Untuk melindungi diri daripada terdedah kepada virus, semua pekerja-pekerja dimestikan untuk memakai penutup mulut dan hidung, dispenser pembersih tangan ada di sekitar tempat-tempat awam dan kru menggunakan laluan sehala untuk bergerak dari satu tingkat ke satu tingkat yang lain bagi menjaga penjarakan sosial.

Warga Paris mengenakan jaket yang tebal ketika angin bertiup kencang dan cuaca yang lebih sejuk untuk berjalan-jalan di kawasan kejiranan mereka tanpa meminta kebenaran untuk mereka keluar dari rumah bagi tujuan tertentu; membeli-belah bekalan makanan, berjoging dan perniagaan penting.

Sekarang, warga Perancis boleh membuat perjalanan dalam radius 100 kilometer dari rumah mereka. Bagi kebanyakan penjaga kedai, kelangsungan hidup bergantung pada berapa segera orang ramai boleh kembali, satu cabaran baharu dengan peraturan penjarakan yang membuat beberapa orang menunggu di pintu masuk.

“Ia akan kembali, tetapi secara perlahan,” kata pekerja kedai bunga Iswar Boodhoo, yang kedainya terletak di penjuru strategik di kawasan Montparnasse, tempat hiburan di Left Bank.

“Orang ramai belum memulakan pekerjaan. Mereka mempunyai banyak masalah dan bunga adalah kemewahan,” katanya.

Lefebvre, daerah perniagaan Champs-Elysees, meratapi apa yang dikatakannya sebagai ‘bencana’ ekonomi selama 18 bulan bagi Paris, dari demonstrasi mingguan oleh penunjuk perasaan gerakan rompi kuning, hingga mogok pengangkutan besar mengenai pembaharuan pencen dan kemudian krisis koronavirus.

“Walaupun begitu, kita membuka harapan penuh, walaupun memerlukan masa yang lama untuk kembali semula,” jelasnya. “Ia adalah penting bagi bandar seperti Paris untuk kembali semula.”- AP