Kota Ranger FC juara piala gabungan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Kota Ranger FC telah diumumkan sebagai juara bagi Kejohanan Piala Gabungan 2019 setelah berjaya mengalahkan Pasukan Kasuka FC pada perlawanan akhir yang berlangsung baru-baru ini di Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Pada perlawanan akhir tersebut, Pasukan Kota Ranger FC membenam Pasukan Kasuka FC dengan jaringan 5-1 dan Kasuka FC terpaksa akur menjadi naib juara bagi kejohanan berkenaan tahun ini.

Gol kemenangan Pasukan Kota Ranger dihasilkan oleh Awang Khalil bin Saab, Mohammad Afi bin Aminuddin, Mohammad Asri bin Haji Aspar, Mohammad Asyraffahmi bin Norsam dan Mohammad Syarafuddin Hamdi bin Haji Talib.

Sementara itu, gol tunggal pasukan Kasuka FC telah dijaringkan pada minit ke-47 melalui pemain yang menyarung jersi nombor tujuh iaitu Awang Azwan Ali Rahman.

Penyampaian hadiah serta piala kejohanan telah disempurnakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad yang juga hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Penjaring terbanyak dalam kejohanan itu disandang oleh Awangku Mohammad Hazmi bin Pengiran Salleh dari Pasukan LG FT.

Kejohanan yang diadakan pada 21 September 2019, turut disertai sebanyak 12 buah pasukan bola sepak tempatan termasuk Pasukan Kota Ranger, Kasuka, Dagang FT, MS ABDB, MS PDB, Akse BERSATU, Savilla FC, MSN United FC, Deno FC, Admirul Redstart, Wondrous FT dan LG FT.

Kejohanan Piala Gabungan 2019 tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Bolasepak Daerah Brunei dan Muara bersama Pasukan Kelab Bolasepak Kota Ranger.

Pasukan Kota Ranger FC bergambar ramai bersama tetamu kehormat, Yang Berhormat Awang Iswandy selepas acara penyampaian hadiah.