Kota Ranger tewaskan Projek Ikan Pusu

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Harapan Pasukan Projek Ikan Pusu (PIP) untuk mengekalkan kedudukan di tempat ketiga di Liga Remaja Bawah 16 NFABD semakin tipis apabila tewas 1-0 di tangan Kota Ranger hari ini.

PIP selaku bekas juara liga terpaksa akur dan menantikan keputusan perlawanan terakhir liga di antara Hawa FT dan Rimba Star FC pada 19 Januari bagi penentuan di tempat ketiga. Hawa FT yang berpeluang untuk mendapatkan kedudukan tempat ketiga liga akan lebih bersedia dan berusaha meraih peluang sebaiknya serta tidak akan mensia-siakan perlawanan yang berlangsung di Padang Bolasepak NFABD itu.

Pada babak awal separuh masa pertama perlawanan, Kota Ranger mula menyerang menerusi percubaan Md Abd Haiman namun berjaya diselamatkan oleh pemain PIP, Muhammad Zarif Ikhwan bin Haimidiy yang telah menggantikan Abdul Syaamil Afiq bin Abdul Jaafar selaku penjaga gawang PIP.

PIP membalas serangan melalui percubaan dari jarak dekat oleh ketua pasukan PIP Mohd Saiful Mahri bin Sambri tetapi Nur Muhammad Adi Halim penjaga gawang Kota Ranger berjaya menangkap bola dengan baik.

Penjaga gawang PIP terpaksa bergelut tetapi berjaya ditembusi Kota Ranger yang dijaringkan oleh Awangku Md Nor Adry Fakri bin Pengiran Nor Husaini menerusi sepakan Md Abd Haiman Toneey apabila bola kembali dari penjaga gol PIP.

Projek Ikan Pusu hampir mendapatkan gol penyamaan apabila membuat hantaran lintang yang membahayakan di dalam petak gol Kota Ranger tetapi berjaya ditangkap dengan baik oleh Nur Muhammad Adi Halim.

Pemain PIP terus mencari ruang dengan melakukan serangan namun tidak berjaya menemui jaringan. Pertahanan Kota Ranger yang cukup baik mengekalkan mereka mendahului perlawanan.

Di babak separuh masa kedua perlawanan Kota Ranger terpaksa bermain 10 orang setelah Mohd Syafiq Hilmi bin Abdullah Sahiful Bahrin diarahkan meninggalkan padang disebabkan kekerasan yang dilakukan dan dilayangkan kad kuning yang kedua.

PIP tidak dapat mencari gol penyamaan meskipun mempunyai kelebihan pemain di dalam padang.

Aksi pemain Projek Ikan Pusu mengawal bola ketika menentang Kota Ranger. – Gambar oleh Fadhil Yunus