Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Kotak alat tulis kayu

    Oleh Amri HTZ

    Pada ketika umur anak sekitar dua tahun, mereka akan mula belajar menulis dan sebagai ibu bapa perlu bersedia untuk menyiapkan mereka dengan peralatan yang diperlukan.

    Antara alat tulis seperti pen, pensel mahupun krayon sering digunakan untuk melatih jari-jari mereka agar terbiasa untuk menulis dan menconteng.

    Namun selain mengajar cara menulis, ibu bapa juga perlu melatih diri mereka untuk bersikap kemas selepas menggunakan peralatan tulis yang diberikan.

    Untuk itu perlunya memiliki kotak pensel khusus mereka dan projek DIY kali ini akan membantu awda cara merekanya.

    Sedia lebih awal demi kelancaran rekaan
    Sebelum memulakan proses rekaan, terlebih dahulu pastikan awda menyediakan kesemua barangan diperlukan seperti gam kayu, kemasan kayu jenis lilin, pita perekat, cat (pilihan warna sendiri), tolok sudut digital, sesiku, mesin pemotong kayu meja, mesin ketam kayu, kepingan papan, cat sembur, pensel penanda, pita pengukur, pembaris dan kertas pasir berukuran 1,500 grit.

    Crosscut sled digunakan untuk memotong kayu dengan ukuran tepat dan selamat bagi mengelakkan berlakunya risiko kayu terpental.
    Bahagian luaran kotak semasa proses menyapukan kemasan kayu pilihan bagi melindunginya daripada kelembapan mahupun serangga perosak.
    Teknik mengekalkan kedudukan cantuman menggunakan pita perekat dan memeriksanya menggunakan sesiku bagi memastikan kedudukan tepat.
    Salah satu teknik memotong kayu dengan ketebalan diperlukan jika tidak mempunyai akses kepada mesin pemotong kayu meja.

    Cukup mudah namun perlu perhatian
    Mulakan proses pembuatan dengan memotongkan papan tersedia dengan ukuran ¼” menggunakan mesin pemotong kayu.

    Tetapkan rip fence daripada bilah pemotong dengan jarak ¼”, awda hanya perlu menyorongkan papan tersebut secara berhati-hati dibantu dengan push stick. Pastikan juga menggunakan peralatan keselamatan seperti kaca mata, penutup telinga dan apron khusus.

    Selain menggunakan mesin pemotong kayu meja, boleh juga gunakan gergaji manual memandangkan ukuran rekaan dalam projek ini kecil. Dengan menetapkan papan pada bench vise atau woodworking vice, awda hanya perlu menandakan ukuran yang hendak dipotongkan sebagai panduan.

    Permukaan kasar terhasil daripada potongan sebelumnya boleh diratakan menggunakan ketam kayu sama ada jenis mesin atau manual.

    Menggunakan mesin merupakan langkah yang mampu menjimatkan masa dan tenaga namun secara manual memberikan awda kawalan sepenuhnya jumlah permukaan yang hendak dibuangkan dengan perlahan-lahan.

    Dalam projek ini terdapat dua jenis papan digunakan. Papan pertama, yang mempunyai permukaan kayu atau ira-ira yang menarik akan dijadikan permukaan luar, sementara kayu yang mempunyai ukuran biasa akan digunakan untuk kotak bahagian dalaman.

    Tujuan hal ini dilakukan adalah bagi memastikan rekaan benar-benar nampak profesional dan menarik.

    Walaupun dua jenis kayu yang berbeza, namun ketebalan kayu-kayu berkenaan untuk rekaan ini tetap sama. Oleh itu awda tidak perlu risau untuk memotongkan atau mengetam ketebalan kayu yang berbeza bagi setiap bahagian.

    Untuk kotak bahagian luaran, kayu yang mempunyai ira-ira yang menarik akan dipotongkan dengan ukuran 7sm lebar dan 18sm panjang (dijadikan bahagian atas dan bawah) dua keping, dan ukuran 5sm lebar dan panjang 18sm (untuk kedua-dua sisi) dua keping.

    Sudut potongan yang diperlukan di sini adalah 45 darjah bagi mendapatkan teknik miltre joint.

    Manakala untuk kotak bahagian dalam akan memerlukan awda memotongkan kayu jenis kedua (ira kayu biasa) berukuran 5.8sm lebar dan 16.8sm panjang (bahagian bawah) sekeping dan ukuran 3.8sm lebar dengan 16.8sm panjang dua keping yang akan dijadikan bahagian sisi.

    Sementara itu kedua-dua bahagian dalam hujung kotak kedua akan ditutup dengan kayu berukuran 3.8sm lebar dan 5.8sm panjang. Sudut potongan pada langkah ini juga perlu dipotong pada sudut 45 darjah.

    Selesai memotongkan bahagian-bahagian kayu itu, langkah seterusnya ialah mencantumkan kotak pertama (kotak bahagian luaran) menggunakan gam kayu.

    Sebelum itu, bagi mengekalkan kedudukan kotak yang dicantum sehingga gam mengering, gunakan pita perekat pada setiap permukaan cantuman.

    Mengambil cara mudah untuk memastikan kesemua bahagian tepat pada kedudukan, letakkan pada meja kerja sesuai susunan iaitu kayu bahagian atas, diikuti dengan sisi kiri, bahagian bawah dan sisi kanan. Pastikan permukaan potongan 45 darjah menghadap ke bawah (meja kerja) dan lekatkan pita perekat pada semua permukaan cantuman.

    Rekaan tersebut kemudiannya akan diterbalikkan di mana bahagian pita perekat akan berada di bawah bagi memudahkan sapuan gam kayu pada langkah seterusnya.

    Kesemua permukaan cantuman yang telah disapukan gam, pada akhirnya akan dicantumkan membentuk segi empat dan bagi mengekalkannya, kedua-dua bahagian terakhir cantuman (hujung kedua-dua sudut rekaan) akan dilekatkan dengan pita perekat untuk mengekalkan kedudukannya.

    Selain menggunakan pita perekat, awda juga boleh menggunakan pengepit kayu berukuran kecil.

    Teknik sedemikian kebiasaannya tidak dilakukan pada rekaan kotak berukuran kecil yang cenderung berubah kedudukan disebabkan tekanan daripada pengepit tersebut.

    Langkah yang sama akan dilakukan pada kotak kedua, namun kali ini kedudukan kotak tersebut akan di-sokong dengan kayu berukuran 3.8sm x 5.8sm pada kedua-dua bahagian hujung menjadikan langkah mencantumkan dan mengekalkan kedudukannya lebih mudah berbanding sebelumnya. Mulakan dengan kayu bahagian sisi kiri, diikuti dengan bawah dan sisi kanan. Setelah menyapukan permukaan cantuman menggunakan gam, kayu-kayu tersebut akan dibentuk menjadi ‘U’ bagi membolehkan awda mencantumkan kayu kedua-dua bahagian hujung.

    Biarkan gam mengering selama beberapa jam dan pastikan lebihan atau lelehan gam yang disapukan dibersihkan sebelum ia mengering.

    Ini kerana apabila kotak-kotak tersebut disatukan, di mana kotak kedua disorong masuk ke dalam kotak pertama, jika terdapat lebihan gam yang menonjol akan menjadi halangan untuknya dimasukkan memandangkan ukuran yang digunakan di sini benar-benar tepat.

    Dalam memberikan kelainan rekaan, bahagian dalaman kotak kedua akan diwarnakan dengan cat sembur biru. Langkah ini adalah pilihan dan jika awda berniat untuk melakukannya, pastikan gam telah mengering dan bahagian luaran kotak ditutup dengan pita perekat sebelum awda menyemburkannya menggunakan cat.

    Setelah itu awda juga boleh melindungi keseluruhan permukaan kayu menggunakan wax daripada wood finish pilihan.

    Bagi mendapatkan hasil rekaan yang terbaik, permukaan luaran kayu juga boleh digosok dengan kertas pasir berukuran 1,500 grit sebelum menyapukan dengan penggilap berlilin. Dengan melakukannya, permukaan kayu yang rata dan licin akan terhasil.

    Selain mempunyai tujuan untuk melindungi permukaan kayu, wax yang di-sapukan juga mampu menimbulkan ira-ira kayu yang tersembunyi atau kurang menyerlah dan sebagai pelincir untuk memudahkan kotak bahagian dalaman disorong masuk atau keluar.

    Dengan langkah terakhir ini, kini awda boleh memasukkan pen, pensel mahupun krayon untuk kegunaan anak-anak selain mendidik mereka untuk sentiasa ‘teratur’ dalam kehidupan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...