Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Kotak barangan kemas ala klasik

    Oleh Amri HTZ

    Ulang tahun merupakan hari yang begitu istimewa hadir cuma sekali dalam setahun dan meraikannya tanpa hadiah, setentunya dirasakan seperti terdapatnya kekurangan.

    Walaupun hadiah bukanlah satu kewajipan dalam memperingati hari lahir seseorang, namun dengan kehadirannya semestinya akan memberikan keceriaan kepada si penerima.

    Selain itu hadiah yang diberikan, turut menjadi kenangan di antara si pemberi dan penerima tiap kali mengenangkan atau terlihat hadiah tersebut.

    Oleh itu, bagi menjadikan pemberian lebih bermakna, apa kata awda rekanya sendiri dengan beberapa langkah yang cukup mudah untuk dilakukan yang akan diajarkan dalam projek DIY minggu ini.

    Perlu miliki barangan sebelum proses rekaan
    Sebelum membolehkan awda meneruskan projek rekaan ini, awda perlu menyediakan barangan seperti kepingan papan atau kayu tebal (slab),paku, kru dekoratif, kit wood clasp, fabrik pelapik, pengepit kayu, mesin jig atau skrol, mesin orbital sander atau kertas pasir, wood stain atau wood finish pilihan, cat akrilik atau enamel (untuk lambang di atas kotak), mesin pemotong kayu, pita pengukur, pen atau pensel penanda dan mesin router.

    Kepingan papan yang telah dipotongkan dengan ketebalan yang diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu meja. – Agensi
    Papan yang dipotongkan mengikut bahagian yang diperlukan untuk mereka kotak menyimpan barangan kemas. – Agensi
    Ruangan dalaman kotak yang mengandungi kayu pembahagi pada bahagian bawah dan tray mudah alih. – Agensi
    Salah satu teknik digunakan untuk mengekalkan kedudukan cantuman sementara menunggu gam mengering menggunakan alat pengepit kayu. – Agensi
    Bentuk lambang yang telah diukir pada sekeping papan yang kemudiannya akan dipotong menggunakan mesin jig atau skrol. – Agensi

    Laksana langkah dengan tertib
    Kepingan papan yang tersedia pada langkah pertama pembuatan akan dipotong mengikut ukuran diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu.

    Tetapkan rip fence dengan jarak ¼” daripada bilah pemotong dan sorongkan papan secara perlahan untuk memotongkannya. Panjang papan diperlukan ialah 10”.

    Papan-papan yang telah dipotong tersebut dengan tebal 1/4” kemudiannya akan dipotongkan lagi dengan ukuran yang diperlukan bagi bahagian-bahagian kotak.

    Kotak tersebut akan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu penutup kotak, badan kotak dan bahagian dalaman kotak.

    Untuk bahagian penutup kotak, ini memerlukan awda untuk memotongkan papan tersebut dengan ukuran 9” x 4.25” (sekeping) untuk bahagian atas, 1” x 4.25” (dua keping) bagi bahagian sisi kiri dan kanan, dan 1” x 9” (dua keping) untuk bahagian depan dan belakang.

    Hampir keseluruhan bahagian cantuman akan menggunakan teknik miter joint oleh itu ia memerlukan awda untuk memotongkan dalam sudut 45 darjah.

    Hal ini terkecuali bagi bahagian kayu pembahagi yang terdapat pada bahagian dalaman kotak yang memerlukan teknik potongan biasa 90 darjah.

    Manakala bagi bahagian badan kotak, ia memerlukan awda untuk memotongkan papan tersebut dengan bahagian berukuran 9” x 3.25” (dua keping) bagi bahagian depan dan belakang, 4.25” x 3.25” (dua keping) untuk bahagian sisi kiri dan kanan, dan 9” x 4.25” (sekeping) untuk lantai bawah dengan bahagian ini akan dipotongkan dengan ruangan ¼” dengan kedalaman 1/8” menggunakan mesin router bagi keseluruhan sudut untuk membolehkannya dimasukkan pada badan kotak.

    Sementara untuk bahagian dalaman kotak, dua keping papan akan dipotong dengan ukuran 3.5” x 1.5” yang akan dicantumkan pada bahagian dalaman kotak berfungsi sebagai pembahagi ruangan untuk menempatkan barangan kemas.

    Hanya pada langkah ini akan menggunakan teknik cantuman biasa iaitu dengan sudut potongan 90 darjah.

    Selain itu, bahagian dalaman kotak juga akan dimuatkan dengan tray mudah alih bagi membolehkan awda mengakses bahagian bawah kotak.

    oleh itu ia memerlukan awda untuk memotongkan papan dengan ukuran 3.5” x 1.5” (dua keping) untuk sisi kiri dan kanan, 5.25” x 1.5” (dua keping) bagi bahagian depan dan belakang dan 5.25” x 3.5” (sekeping) untuk bahagian lantai bawah dengan ruangan ¼” dengan kedalaman 1/8” akan direka pada keseluruhan sudut juga menggunakan mesin router bagi membolehkannya dimasukkan ke bahagian utama.

    Jika awda tidak memiliki mesin router, menggunakan pahat kayu secara manual juga mampu memberikan hasil akhir yang lebih kurang sama.

    Kesemua bahagian yang telah dipotongkan akan dicantumkan menggunakan gam kayu dengan sokongan paku atau stapler untuk menjadikannya kukuh.

    Minta bantuan seseorang untuk memegang bahagian-bahagian cantuman sementara awda menetapkan kedudukannya untuk memasukkan paku.

    Namun jika langkah ini hanya dilakukan seorang diri, penggunaan pita perekat untuk menahan sudut cantuman boleh dilakukan.

    Kayu-kayu yang telah dicantumkan mengikut bahagian-bahagian yang telah ditetapkan akan dibiarkan mengering selama lebih kurang beberapa jam sebelum membolehkan awda menyapukan kemasan kayu pilihan.

    Sementara menunggu gam mengering, manfaatkan masa untuk mereka lambang (emblem) yang akan diletakkan pada bahagian atas penutup kotak.

    Selain dengan cara melakarnya terus pada permukaan sekeping papan lebihan rekaan, awda juga boleh mencetak gambar diperlukan sesuai dengan ukuran pada bahagian penutup kotak.

    Projek rekaan ini akan mereka bentuk lambang seperti brass knuckle disebabkan bentuknya yang unik namun ini bukanlah sesuatu yang awda perlu reka atau ikuti jika bentuknya tidak bersesuaian dengan minat awda.

    Papan yang telah dilakar atau dilekatkan dengan kertas cetakan berisi gambaran pilihan akan dipotongkan menggunakan mesin jig atau skrol.

    Untuk bahagian dalaman, ia memerlukan awda untuk menebuk lubang terlebih dahulu bagi membolehkan mata mesin pemotong dimasukkan.

    Lambang yang telah selesai dipotong akan disemburkan dengan warna keemasan pada permukaan atasnya dengan memastikan pada bahagian bawah tidak dicat.

    Ini bagi membolehkan ia dicantumkan pada permukaan atas penutup kotak menggunakan gam kayu.

    Keseluruhan permukaan kotak kini boleh disapukan dengan wood finish sama ada berbentuk stain atau varnis.

    Sapukan beberapa lapisan wood finish dengan memastikan setiap lapisan diberikan masa mengering lebih kurang 10 minit.

    Langkah terakhir ialah memasangkan engsel, kit wood clasp dan fabrik pelapik pada bahagian bawah kotak dan tray.

    Dengan kotak barangan kemas yang siap direka, ia kini boleh diserahkan kepada pemiliknya dengan sekeping kad berisi ucapan tahniah sempena hari jadi mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...