Kotak fius punca kebakaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Seorang lelaki tempatan terkejut apabila kereta (gambar bawah) yang dipandunya terbakar dalam kejadian yang berlaku di kawasan lebuh raya menuju ke Perumahan Kampung Rimba, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi C, Daerah Brunei dan Muara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada jam 1 petang dan tiga jentera bersama 14 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Rimba yang diketuai oleh Timbalan Pegawai Balai, Mapan bin Yatam dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menyatakan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, mereka mendapati api besar membakar sebuah kereta sehingga melibatkan keseluruhan bahagian dalam kereta berkenaan.

Api kemudian berjaya dipadamkan oleh anggota bomba manakala pemandunya dilaporkan dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa penyiasatan oleh Pegawai Penyiasat, ASFR Pengiran Noor Faridahwati binti PSM Pengiran Anak Omar Ali bersama seorang anggota menyatakan punca api dipercayai daripada kerosakan di bahagian kotak fius dan anggaran kerugian kira-kira $3,000.

Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataan itu lagi, menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran dan pam yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.