Kotak hadiah kayu cukup memukau

Oleh Amri HTZ

Sudah menjadi suatu kelaziman ketika memberikan hadiah kepada seseorang, ia akan dibungkus menggunakan sekeping kertas berhias, beg kertas ataupun di dalam kotak khusus.

Membungkusnya bukanlah kewajipan namun lebih kepada memberikan kejutan untuk si penerima sempena hari istimewa mereka. Kadangkala, pembungkus hadiah di pasaran tidak dapat ‘memancing’ hati pemberi hadiah disebabkan kurang sesuai mahupun mempunyai banyak persamaan. Bagi mereka yang takut ia akan menyerupai pembungkus hadiah para pemberi hadiah lain, dengan merekanya sendiri setentunya dapat mengelakkan daripada perkara berkenaan berlaku.

Kelengkapan yang diperlukan

Sebelum membolehkan awda memulakan langkah pembuatan, terlebih dahulu sediakan barangan seperti mesin pemotong kayu meja, mesin ketam kayu, kepingan papan 1” x 8” berwarna cerah, beberapa batang kayu berwarna gelap, kertas pasir, gam kayu, pita pengukur, pensel penanda, sekeping papan lapis berketebalan 3mm, pahat kayu, gergaji tangan dan paku kecil serta mesin router atau stapler bagi memastikan proses rekaan berjalan dengan lancar dan dapat disempurnakan.

Cukup mudah namun perlu perhatian

Mulakan projek rekaan dengan meratakan permukaan kayu yang digunakan menggunakan mesin ketam kayu atau kertas pasir. Perhatikan permukaan papan yang tersedia, jika permukaan terlalu kasar dan tidak rata, mesin ketam kayu dapat menyelesaikan masalah ini dan pastikan ketika awda menetapkan ketebalan kayu yang akan diketamkan, dilakukan sedikit demi sedikit.

Sementara penggunaan kertas pasir lebih disarankan untuk permukaan kayu yang telah rata tetapi terlalu kasar untuk dikendalikan yang boleh mendatangkan kecederaan. Selain itu, bagi mereka yang tidak memiliki mesin atau ketam kayu manual, permukaan kayu yang tidak rata boleh diratakan menggunakannya mengikut kekasaran (grit) kertas pasir yang digunakan. Walaupun ia memakan masa untuk menjadi rata, namun tugasan meratakannya boleh terlaksana.

Permukaan bawah kayu bahagian pemegang disapukan dengan gam kayu untuk mengekalkan kedudukannya dengan bantuan alat pengapit kayu.
Kotak yang telah dicantumkan dengan sudut 45 darjah daripada teknik mitre joint
Salah satu teknik untuk mereka alur bagi bahagian pemegang penutup kotak.

Setelah meratakannya, kini awda boleh memulakan proses pemotongan papan menggunakan mesin pemotong kayu meja. Ukuran papan untuk bahagian depan dan belakang kotak ialah 12” panjang dan 7” tinggi sementara bahagian sisi 9” panjang dan 7” tinggi. Sudut potongan yang diperlukan di sini ialah 45 darjah bagi memudahkan proses cantuman selain menjadikan rekaan tampak lebih profesional.

Setelah memotongkannya, bahagian bawah rekaan akan direka dengan alur untuk menempatkan papan lapis. Untuk itu, tandakan ukuran ½” daripada bahagian bawah dengan garisan bagi keseluruhan papan yang telah dipotongkan.

Garisan yang ditandakan merupakan panduan untuk mesin router mereka alur menggunakan straight carbide tipped dengan kedalaman 5mm. Lebar alur yang direka perlu selaras dengan ketebalan papan lapis yang disediakan.

Untuk ukuran papan lapis tersebut, ia akan dipotong dengan saiz 31sm x 23.4sm. Dalam memastikan ukuran papan yang telah dipotong tersebut bersesuaian dengan struktur kotak, sebelum mengekalkannya menggunakan gam kayu, awda perlu melakukan dry fit.

Langkah ini benar-benar perlu untuk memastikan kesemua bahagian kayu mempunyai ukuran yang tepat dan dapat dicantumkan dengan sempurna.

Manakala untuk bahagian penutup kotak, papan yang sama seperti bahagian struktur kotak akan digunakan. potong papan dengan ukuran 12” x 9” menggunakan mesin pemotong. Pastikan ukuran benar-benar tepat agar ketika kotak ditutup menggunakannya, tidak terdapat rongga yang terlalu besar kelihatan.

Kayu berwarna gelap tersedia akan dipotong sebagai pemegang penutup kotak pada langkah seterusnya. Untuk itu tetapkan rip fence mesin pemotong kayu dengan jarak 1” dari bilah mesin. Sorong kayu tersebut berhati-hati memandangkan material berukuran kecil yang dipotong berisiko terjadinya kick back. Oleh itu, pastikan awda menggunakan apron dan kaca mata keselamatan bagi melindungi diri.

Sebelum mencantumkan kotak berkenaan, terlebih dahulu sapukan permukaan cantuman menggunakan gam kayu dan tempatkan papan lapis untuk bahagian bawah ke dalam alur yang direka. Biarkan gam mengering lebih kurang 24 jam sebelum proses seterusnya.

Kayu berwarna gelap yang dipotongkan akan dijadikan bahagian pemegang penutup kotak.

sebelum mencantumkannya dengan bahagian penutup, pada bahagian kotak akan direka alur bagi menetapkan kedudukannya. Untuk itu, alur dengan kedalaman 2sm akan direka sama ada menggunakan mesin router atau pahat kayu.

Bagi memudahkan awda menandakan kedudukan bahagian pemegang, tempatkan sesuatu barangan dengan ketinggian yang diperlukan di dalam kotak dengan bahagian kayu penutup di atasnya.

Ini bagi memastikan kayu penutup tidak terjatuh ke dalam kotak sekali gus menyukarkan langkah menandakan kedudukan kayu pemegang.

Setelah melakukannya, letakkan kayu pemegang pada bahagian atas dan tanda dengan melakar garisan pada bahagian luaran kayu pemegang pada permukaan kotak dan penutup. Langkah seterusnya hanya memerlukan awda mencantumkannya pada bahagian penutup dan mereka alur pada bahagian kotak.

Lebihan kayu pemegang yang menonjol keluar daripada bahagian sisi kotak pada langkah terakhir boleh diratakan menggunakan pahat kayu.

Bagi awda yang suka akan ira-ira kayu lebih ketara dan menonjol, gunakan wood finish bersesuaian untuknya. Selesai merekanya, hadiah yang telah tersedia kini boleh dimasukkan dan diberikan kepada insan istimewa awda!