Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Kotak hitam kedua ditemui

    BEIJING, 27 MAC – ‘Kotak hitam’ kedua telah ditemui daripada bangkai pesawat China Eastern Boeing 737-800 yang membunuh kesemua 132 penumpang minggu lalu, menurut media negeri China hari ini.

    Anggota bomba yang terlibat dalam operasi mencari telah menemui perakam, silinder jingga, di lereng gunung kira-kira 1.5 meter dari bawah tanah, menurut penyiar negeri CCTV. Pakar mengesahkan ia adalah kotak hitam kedua. Kesan nahas menyebabkan serpihan bertaburan di kawasan luas dan menghasilkan lubang sedalam 20 meter di sisi gunung.

    Anggota mencari berusaha untuk mencari perakam data penerbangan selepas menemui perakam kokpit empat hari lalu. Dua perakam tersebut akan dapat membantu penyiasat untuk mengesahkan punca pesawat malang itu menjunam daripada ketinggian 29,000 kaki dan terhempas di kawasan pergunungan bersalji di selatan China.

    Pencarian kotak hitam dan serpihan daripada bangkai pesawat telah dirumitkan oleh keadaan pedalaman dan cuaca hujan dan berlumpur. Video yang dimuat naik oleh CGTN, rangkaian antarabangsa CCTV, menunjukkan seorang pegawai memegang objek berwarna jingga dari tapak dengan tertera ‘PERAKAM’ dan ‘JANGAN BUKA’ padanya. Ia kelihatan sedikit remuk tetapi masih utuh.

    Pesawat MU5735 terhempas pada Isnin lalu semasa dalam perjalanan ke bandar Kunming di tenggara China menuju Gunagzhou, sebuah bandar utama dan hab kilang eksport berhampiran Hong Kong. Pengawal trafik udara cuba menghubungi juruterbang beberapa kali selepas melihat ketinggian pesawat itu menurun secara drastik tetapi tidak menerima sebarang respons, menurut pegawai.

    Perakam suara kokpit, yang juga silinder berwarna jingga, ditemui dua hari kemudian pada Rabu. Ia telah dihantar ke Beijing untuk diperiksa dan dianalisis.

    Pegawai lewat kelmarin berkata tiada yang terselamat di kalangan 123 penumpang dan sembilan kru. Analisis DNA mengesahkan identiti 120 mangsa yang menaiki pesawat, katanya.

    Anggota mencari menemui kad pengenalan dan kad bank kepunyaan mangsa.- AP

    Seorang pegawai membawa perakam kotak hitam yang ditemui di kawasan pesawat China Eastern terhempas, kelmarin.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...