‘Kotak hitam pesawat Ukraine tidak akan membantu siasatan’

TEHRAN, 7 JUN – Kotak hitam sebuah pesawat Ukraine yang tersasar jatuh berhampiran lapangan terbang Tehran dilihat tidak akan membantu dalam siasatan, tetapi Iran bersedia memindahkannya ke luar negara, menurut media negara.

Penerbangan 752, pesawat Ukraine International Airlines, ditembak peluru berpandu dan terhempas tidak lama selepas berlepas dari lapangan terbang Tehran pada 8 Januari lalu.

“Walaupun siasatan hampir selesai dan kandungan kotak hitam tidak akan membantu siasatan, kami bersedia memberikannya kepada negara ketiga atau syarikat asing,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Mohsen Baharvand, yang dipetik oleh agensi berita rasmi, Irna.

Sejurus selepas nahas itu, pihak berkuasa Iran menegaskan nahas berkemungkinan disebabkan oleh kerosakan teknikal dan tegas menyangkal dakwaan pesawat itu ditembak jatuh.

Namun, pada 11 Januari lalu, tentera Iran mengakui bahawa pesawat itu ditembak jatuh kerana ‘kesalahan manusia’, membunuh 176 orang, antaranya warga negara Iran dan Kanada, termasuk banyak warga negara lain.

Ottawa yang selama beberapa bulan menuntut supaya Iran, yang tidak memiliki kaedah teknikal untuk menyahkod kotak hitam, menyerahkan kotak itu ke luar negara supaya kandungannya dapat dianalisis.

Selepas Tehran mengatakan pada Mac lalu pihaknya bersedia memindahkan kotak hitam ke Perancis atau Ukraine, Menteri Luar Kanada, Francois-Philippe Champagne, mengalu-alukan tindakan itu dan berkata, beliau hanya akan mengadili berdasarkan tindakan, bukan kata-kata saja.

Dalam wawancara dengan Irna, Baharvand menyifatkan Iran mempunyai syarat tertentu untuk memindahkan kotak hitam ke luar negara, tetapi tidak menjelaskannya. – AFP