Oleh Amri HTZ
PERNIAGAAN dalam talian mampu menyediakan akses mudah untuk berniaga secara sambilan atau sepenuh masa.
Bagi mempromosikan barangan yang akan dijual, perlu mempunyai gambar yang menarik dan butiran terperinci sebagai rujukan para pelanggan. Menghasilkan gambar yang menarik dan profesional agak cukup mudah walaupun hanya menggunakan kamera telefon dengan menitikberatkan kepentingan pencahayaan semasa penggambaran.
Ikuti beberapa langkah untuk mereka kotak penggambaran untuk objek kecil yang mampu menghasilkan gambar yang cukup profesional.
Barangan yang diperlukan
Pada projek ini, untuk mereka kotak untuk penggambaran tersebut, beberapa barangan penting diperlukan seperti kayu berukuran 2’’ x 1‘’ yang akan dipotong kepada beberapa bahagian, sekeping papan lapis (salah satu permukaan berwarna putih) mesin pemotong kayu, pita pengukur, gam kayu, compressed air stapler (heavy duty), fabrik berwarna putih, mesin gerudi, pengepit kayu, skru kayu dan barangan pencahayaan khas untuk set penggambaran.
Langkah-langkah pembuatan
Pada langkah pertama, kayu-kayu yang telah disediakan tadi akan dipotong menjadi beberapa bahagian dengan ukuran yang tertentu.

Bagi bahagian depan dan belakang, ukuran kayu yang perlu dipotong ialah 24’’ x 16’’ x 2 sebanyak dua set.
Manakala untuk bahagian sisi kiri dan kanan kotak, kayu berukuran 12’’ x 18’’ x 2 diperlukan juga sebanyak dua set.
Sementara untuk bahagian atas dan bawah kotak, 24’’ x 8’’ x 2 diperlukan sebanyak dua set. Pastikan anda tidak mencampurkan kayu-kayu yang telah dipotong bagi mengelakkan kekeliruan.
Kumpulkan kayu-kayu yang telah dipotong mengikut bahagian pada satu tempat dan tandakan menggunakan kertas dengan menamakan bahagian-bahagiannya.
Langkah kedua adalah memasangkan rangka kotak untuk bahagian depan dan belakang menggunakan gam kayu dan stapler.
Setiap bahagian kayu yang dipotong akan dicantumkan membentuk segi empat.
Cantumkan kayu 24’’ x 16’’ tadi dengan memastikan kayu berukuran 24’’ untuk bahagian bawah dan 16’’ untuk bahagian rangka sisi. Lakukan langkah yang sama pada rangka bahagian belakang.
Beralih ke rangka sisi kiri dan kanan kotak tersebut, cantumkan rangka tersebut dengan memastikan kayu berukuran 12’’ pada bahagian bawah dan 18’’ pada bahagian sisi.
Kesemua langkah mencantumkan rangka kotak ini sama dengan membentuk rangka segi empat.
Setelah kesemua bahagian dicantumkan membentuk segi empat (bahagian atas, bawah, sisi kiri, kanan, depan dan belakang) kini anda hanya perlu mencantumkan kesemua bahagian-bahagian tadi menggunakan skru dan gam kayu. Sebelum memasangkan skru, gunakan pengepit kayu untuk membantu anda menahan rangka tersebut untuk kekal pada kedudukan.




Bagi memudahkan proses cantuman kesemua rangka kotak yang telah siap tadi, tebuk bahagian yang akan dicantumkan menggunakan mata gerudi berukuran 0.4mm dan sapukan gam kayu sebelum memasangkan skru. Pasangkan sekurang-kurangnya dua skru pada permukaan cantuman.
Langkah menebuk sebelum memasangkan skru ini adalah bagi memastikan kayu yang dicantumkan tidak merekah atau pecah. Ini disebabkan keadaan kayu yang kurang tebal dan sebarang tekanan ke atasnya akan menyebabkannya mudah terbelah memandangkan saiz standard skru yang agak besar.
Sementara pada bahagian bawah kotak, cantumkan papan lapis dengan permukaan yang putih (dilapiskan dengan formika). Penggunaan permukaan berwarna putih di sini adalah bagi memastikan objek yang digunakan sewaktu penggambaran akan mendapatkan cahaya yang cukup baik dan mampu memantulkan cahaya untuk bahagian-bahagian yang terlindung.
Setelah siap mencantumkan keseluruhan bahagian rangka, kini anda boleh memulakan langkah memasangkan fabrik berwarna putih pada bahagian sisi kiri, kanan dan atas kotak tersebut.
Kekalkan kedudukan fabrik menggunakan stapler dengan kemas. Tinggalkan bahagian depan dan belakang tanpa fabrik penutup kerana pada bahagian belakang, anda boleh mengubah pelbagai latar belakang mengikut tema penggambaran.
Langkah terakhir adalah memasangkan set lampu penggambaran pada bahagian sisi kiri, kanan dan atas pada kotak tersebut.
Ini akan memberikan pencahayaan yang terbaik untuk imej yang akan ditangkap menggunakan kamera. Gunakan pelbagai medium untuk latar belakang yang berlainan yang mampu menghasilkan gambar lebih professional.